Bergurau dengan rakan, pelajar Tingkatan 1 patah tangan

BERGURAU punya pasal, seorang pelajar tingkatan satu patah tangan selepas terjatuh ketika melompat daripada katil di asrama sekolahnya dekat Kuala Terengganu.

Kejadian berlaku pada 8 malam Isnin lalu dan tular di Facebook (FB) sejak semalam, selepas dimuat naik bapa pelajar itu.

Wan Danish Haikal Wan Mohd Rozlan, 13, mengakui kejadian berlaku disebabkan kesilapannya sendiri kerana ‘terlebih’ bergurau dengan rakannya.

“Saya mahu melompat daripada katil (bertingkat) tetapi gagal memaut rakan menyebabkan jatuh dan bertongkatkan tangan sendiri.

“Hentakan kuat menyebabkan tangan kanan saya bengkok. Ia tak sakit tetapi saya takut melihat tangan bengkok seperti ular,” katanya ketika dihubungi.

Insiden itu menjadi pengajaran kepadanya dan berharap pelajar lain tidak mengikut jejaknya.

Sementara itu bapanya, Wan Mohd Rozlan Wan Derahman, 34, berkata, dia berkongsi gambar anaknya berkeadaan demikian bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak.

Sebaliknya, mahu memberi pengajaran kepada kenalannya di media sosial supaya mengawasi dan menasihati anak masing-masing.

“Malang tidak berbau, kecuaian boleh membawa padah. Oleh itu perlu sentiasa berhati-hati dalam setiap perbuatan atau permainan,” katanya yang mengambil anaknya daripada asrama sejurus kejadian dan terus dibawa ke Hospital Setiu sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Loading...

Leave a Reply