Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Jenayah

Berang tidak diberi pinjam, suami bakar kereta isteri

BERANG isterinya tidak mengendahkan permintaan supaya membuka kunci stereng kereta untuk ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat, seorang suami bertindak luar batasan apabila membakar kenderaan milik wanita itu.

Dalam kejadian pada 12.45 tengah hari semalam, mangsa yang berusia 36 tahun berada di rumah ibunya di Kemasik, Chukai sebelum suaminya datang dan membuat bising meminta wanita itu membuka kunci stereng Proton Wira warna hitam miliknya.

Sumber berkata, mangsa yang juga seorang peniaga enggan membuka kunci stereng kereta itu berikutan lelaki berkenaan melarikan kereta berkenaan hingga menyukarkannya menggunakan kenderaan terbabit membawa barang niaganya.

Menurutnya, lelaki berkenaan yang tidak bekerja kemudian berlalu dengan menaiki motosikal selepas permintaannya tidak diendahkan sebelum kembali dengan membawa botol lutsinar berisi cecair dipercayai petrol.

“Lelaki itu kemudiannya mengalihkan kereta yang parkir di hadapan tangga rumah ibu mentuanya ke kawasan lapang di hadapan kediaman itu tanpa membuka kunci stereng berkenaan.

“Ketika kejadian, anak perempuan mereka berusia 11 tahun melihat perbuatan bapanya mengalihkan kenderaan sebelum memaklumkan kepada ibu dan neneknya yang berusia 60 tahun.

“Mangsa dan ibunya yang bimbang keselamatan mereka tidak berani keluar rumah dan hanya meninjau dari dalam sebelum ternampak suspek menyimbah kereta dengan cecair itu lalu menyalakan api di dalam kenderaan terbabit.

“Mangsa yang tidak sempat berbuat apa-apa hanya mampu menghubungi polis memaklumkan kejadian dan api marak dengan cepat membakar kenderaan itu sehingga musnah 100 peratus,” katanya.

Sumber berkata, lelaki berkenaan yang bagaikan hilang akal terus berlalu ke masjid dengan menaiki sebuah kereta Perodua Kancil.

Susulan laporan dibuat mangsa, lelaki itu ditahan polis kira-kira 2.30 petang selepas solat Jumaat di Masjid Jamek Kemasik.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman Deputi Superintendan Mohd Haki Hasbullah ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian terbabit.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén