Benarkah Guan Eng pertahankan maruah gadis Melayu sehingga dipenjara setahun?

199

AGAK terhibur dengan dakwaan ketua Pakatan Harapan, Lim Kit Siang bahawa anaknya, Guan Eng telah berjaya merentasi batasan kaum dan agama demi mempertahankan maruah seorang anak gadis bawah umur Melayu Islam yang didakwa telah dirogol, sehingga akhirnya menyebabkan Guan Eng dipenjarakan selama setahun.

Inilah satu cebisan propaganda yang yang telah digunakan berulang kali oleh DAP dalam memanipulasikan imej pemimpin mereka supaya nampak lebih baik dan mulia.

Mungkin Kit Siang terlupa bahawa Lim Guan Eng telah didapati bersalah oleh Mahkamah Rayuan berhubung dengan kesalahan mencetak dan mengedarkan berita palsu di bawah Akta Akhbar dan Penerbitan 1984 dan Akta Hasutan 1948, dan bukannya kerana membela seorang gadis Melayu Islam.

Kesalahan yang dilakukan Guan Eng, ialah pada awalnya, didapati bersalah dan didenda sebanyak RM 15,000 namun Guan Eng ingkar malah seterusnya memutuskan untuk memfailkan rayuan, dan pada masa yang sama berulang-kali mempersoalkan keputusan hakim-hakim tersebut di luar mahkamah.

Mahkamah Rayuan akhirnya memutuskan hukuman penjara ke atas beliau.

Mungkin juga Kit Siang terlupa bahawa lelaki yang dituduh sebagai perogol itu telah menyaman DAP atas fitnah tersebut sehingga menyebabkan DAP mengakui di mahkamah bahawa kesemua tuduhan tersebut sebenarnya adalah tidak berasas.

Mungkin Kit Siang juga terlupa bahawa Time Magazine dan Asiaweek juga telah menarik balik artikel mereka yang bersumberkan daripada DAP.

Mereka seterusnya memohon maaf kepada lelaki tersebut.

Sekiranya tertuduh itu bukanlah daripada anggota parti pemerintah, pastinya mustahil untuk DAP meneruskan dakwaan tersebut kerana ianya tidak banyak memberikan kelebihan dari segi politik.

Seandainya Kit Siang masih berniat untuk meneruskan propaganda yang mengelirukan ini, dicabar supaya Kit Siang menamakan perogol tersebut kepada umum. Kegagalan Kit Siang untuk membuat pengumuman akan menghancurkan kredibiliti pendakwaan beliau.

Kit Siang juga diminta supaya menamakan gadis Melayu Islam yang kononnya telah dibela maruahnya oleh DAP – atau dalam hal tersebut, mana-mana gadis dari apa jua bangsa dan agama – yang dibela oleh Guan Eng, selama ini, samada sebelum atau selepas insiden yang akhirnya membawa kepada hukuman penjara tersebut.

Datuk Mejar Huan Cheng Guan
Parti Cinta Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here