Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Utama

Belon meletup: Polis jumpa pemetik api di lokasi kejadian

KEJADIAN belon helium meletup sehingga menyebabkan 16 mangsa melecur disyaki berpunca daripada cubaan memotong tali pengikat belon itu bagi melepaskannya menggunakan pemetik api.

Insiden berlaku pada 11.34 pagi hari ini ketika Program Kecergasan Kementerian Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2019 di Dataran Putrajaya.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan ketika ditemui berkata, mangsa cedera membabitkan sembilan kanak-kanak dan tujuh dewasa berusia antara empat hingga 30-an.

“Siasatan awal mendapati, kejadian disyaki berpunca daripada cubaan memotong tali pengikat belon bagi melepaskannya menggunakan pemetik api.

“Perbuatan itu dipercayai dilakukan orang dewasa susulan penemuan pemetik api di lokasi kejadian.

“Kami masih mengesan suspek berkenaan,” katanya ketika ditemui di Hospital Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, difahamkan, belon meletup itu digunakan pada gimik perasmian program berkenaan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Putrajaya, Dr Khairul Nizam Hassan berkata, semua pesakit dalam keadaan stabil dan tiada mangsa kritikal.

“Mangsa melecur tahap satu dan dua serta dalam keadaan stabil.

“Kecederaan melecur berbeza bagi setiap mangsa,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut meluangkan masa melawat mangsa di Jabatan Kecemasan Hospital Putrajaya.

Beliau menerima berita berkenaan selepas merasmikan Program Keselamatan Kanak-Kanak Sahabat BIJAK Selamat dan Lindung sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (1) hari ini.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén