Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Utama

Belanjawan 2020: Warga asing dibenar miliki hartanah RM600,000 ke atas

Kerajaan akan menurunkan nilai ambang bagi kondominium dan pangsapuri di kawasan bandar daripada RM1 juta kepada RM600 ribu pada tahun 2020 untuk pemilikan asing.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata ini bagi mengurangkan lambakan kondominium dan pangsapuri tidak terjual yang dianggarkan bernilai RM8.3 bilion pada suku kedua tahun 2019.

“Kerajaan akan menurunkan nilai ambang bagi kondominium dan pangsapuri di kawasan bandar daripada RM1 juta kepada RM600,000 pada tahun 2020 untuk pemilikan asing,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Guan Eng berkata kerajaan juga akan mengadakan usahasama dengan institusi kewangan untuk memperkenalkan Skim Pembiayaan Sewa untuk Memiliki (Rent To Own atau RTO).

Melalui skim ini, pembiayaan sebanyak RM10 bilion akan disediakan oleh institusi kewangan dengan sokongan kerajaan melalui penyediaan jaminan sebanyak 30 peratus atau RM3 bilion.

“Skim RTO ini adalah untuk pembelian rumah pertama bernilai sehingga RM500 ribu.

“Di bawah skim ini, pemohon akan menyewa rumah bagi tempoh sehingga lima tahun dan selepas setahun, diberi pilihan untuk membeli rumah kediaman berkenaan pada harga yang ditetapkan semasa perjanjian penyewaan ditandatangani.

“Kerajaan juga akan memberi pengecualian duti setem sepenuhnya ke atas instrumen pindah milik di antara pemaju dan institusi kewangan, serta di antara institusi kewangan dan bakal pembeli,” katanya.

Selain itu bagi membantu belia untuk memiliki rumah pertama, kerajaan akan melanjutkan Skim Perumahan Belia yang dikendalikan oleh BSN mulai 1 Januari 2020 sehingga 31 Disember 2021.

“Skim ini juga menawarkan jaminan pinjaman sebanyak 10 peratus melalui Cagamas untuk membolehkan peminjam mendapatkan pembiayaan penuh dan bantuan ansuran bulanan sebanyak RM200 sebulan untuk dua tahun pertama terhad kepada 10 ribu unit rumah,” katanya.

Loading...

Leave a Reply

Theme by Anders Norén