Portal berita terbaik anda

Dunia

Bekas tentera dihukum penjara 5,000 tahun

GUATEMALA CITY, AMERIKA SYARIKAT – Sebuah mahkamah di Guatemala menjatuhkan hukuman 5,130 tahun penjara ke atas seorang bekas tentera yang dihantar pulang dari Amerika Syarikat.

Hukuman penjara maksimum terhadap pesalah di negara Amerika Tengah itu adalah 50 tahun.

Santos Lopez Alonzo disabit bersalah membunuh 171 orang penduduk kampung lebih tiga dekad lalu.

Alonzo yang dituduh menganggotai skuad elit dikenali sebagai ‘Kaibiles’ melakukan jenayah itu pada 7 Disember 1982 di utara bandar Dos Erres.

Mahkamah semalam mengisytiharkan Alonzo, 66, bersalah atas dakwaan membunuh dan jenayah kemanusiaan.

Dia juga menculik seorang budak lelaki berusia lima tahun selepas membunuh seluruh keluarga kanak-kanak malang terbabit.

Menurut Suruhanjaya Siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kira-kira 200,000 orang terbunuh dan 45,000 lagi hilang semasa perang saudara pada 1960-1996 di Guatemala.

Kebanyakan mangsa dibunuh oleh tentera, sebahagian pula dibunuh gerila berhaluan kiri. – AP

Loading...

Leave a Reply