Bekas setiausaha Najib nafi ada kaitan dengan serbuan ‘rumah selamat’

0
1501

Susulan serbuan polis ke atas “rumah selamat” bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam, seorang bekas kakitangannya mengesahkan beliau sebelum ini tinggal di sana tetapi menafikan sebarang hubungan dengan serbuan itu.

Bercakap kepada Malay Mail, bekas setiausaha sulit Najib, Tan Sri Shukry Mohd Salleh, berkata beliau tinggal di rumah di Precinct 10, Putrajaya itu selama tujuh tahun bermula tahun 2009 sehingga dirinya bersara dua tahun lalu.

Tan Sri Shukry Mohd Salleh

“Saya tinggal di sana sehingga tidak lagi menjadi kakitangan awam dan mengikut prosedur saya menyerahkan semula kunci rumah itu dan tidak ada kena mengena lagi dengan rumah itu,” katanya kepada akhbar itu.

Semalam, seorang penyiasat memberitahu Malaysiakini bahawa pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman berjaya merampas barangan berjenama mewah yang dikaitkan dengan dana yang diselewengkan daripada 1MDB dari rumah itu.

“Puluhan barangan berjenama dirampas dari rumah di Precint 10 di mana penyiasat percaya telah dibeli dengan wang dari 1MDB,” kata sumber itu.

Serbuan itu dijalankan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Rumah itu memaparkan jata Bahagian Pengurusan Hartanah Jabatan Perdana Menteri dan terletak kira-kira 200 meter dari Seri Perdana, kediaman rasmi perdana menteri.

Selain daripada rumah di Precinct 10, satu lagi rumah yang selamat yang dikaitkan dengan Najib yang terletak di Putrajaya Precinct 11 turut diserbu semalam. Namun, tiada apa-apa yang disita dari rumah berkenaan.

Setakat ini, polis telah menyerbu sekurang-kurangnya lima lokasi yang dikaitkan dengan Najib.

Ini termasuk serbuan di kediaman mewah Pavilion Residences pada bulan lalu, di mana polis merampas wang tunai bernilai RM114 juta dalam pelbagai wang wang dan 72 beg berjenama mewah.

Turut menjadi sasaran adalah kediaman peribadi Najib di Langgak Duta, Bukit Tunku, Kuala Lumpur.

Segala serbuan itu dipercayai berkaitan dengan siasatan polis yang berterusan ke 1MDB, selepas BN tumbang dan digantikan oleh kerjaan Pakatan Harapan pada 9 Mei lalu.

Pakatan Harapan dalam manifestonya antara lain berikrar akan menyiasat dengan teliti skandal tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here