Bekas pemain bola negara tidur di kaki lima tunggu rawatan jantung

0
193

Seorang bekas pemain bola sepak kebangsaan era 90an terpaksa hidup sebagai gelandangan di Jalan Hang Lekiu, Kuala Lumpur sementara menunggu tarikh pembedahan memasukkan perentak jantung tahun ini.

Mingguan Malaysia melaporkan, beliau yang berusia lewat 40-an akan terpaksa tidur di kaki lima setiap kali datang ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

“Simpanan semakin berkurangan, sebab itu lebih lapan bulan saya menjalani hidup sebegini setiap kali datang ke Kuala Lumpur untuk menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), saya tidak mampu untuk menyewa hotel maka terpaksa tidur di kaki lima ini.

“Saya bukanlah penghuni tetap di kaki lima memandangkan saya cuma berehat dan tidur dalam tempoh tertentu sahaja (beberapa minggu dalam sebulan).

“Sejurus selesai sesi rawatan, saya akan pulang ke kampung, apapun inilah nasib saya sekarang,” katanya dipetik sebagai berkata.

Bekas pemain posisi pertahanan yang pernah mewakili beberapa pasukan negeri itu berkata kesukaran hidupnya bermula apabila disahkan menghidap penyakit jantung sekitar 2009.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu kemudian dimaklumkan penyakitnya bertambah kronik sejak tiga tahun lalu.

Lebih malang, beliau yang pernah bekerja sebagai buruh selama setahun tidak mampu meneruskan pekerjaan itu disebabkan penyakitnya.

Menurutnya, meskipun menjadi gelandangan sementara, dia masih mampu menguruskan diri dengan baik dengan memanfaatkan kemudahan awam seperti surau dan masjid untuk membersihkan diri dan bersolat.

Lebih hiba, ketika ditanya soal keluarga, lelaki itu mengakui sudah bercerai dan memiliki tiga anak yang sedang belajar, terma­suk seorang daripadanya sedang menuntut di salah sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA)

Mengakui sudah bercerai dan mempunyai tiga anak yang sedang belajar termasuk seorang daripadanya sedang menuntut di universiti, lelaki itu menjelaskan dia tinggal di rumah kakaknya sekiranya berada di kampung.

“Ketiga-tiga anak saya tidak tahu saya hidup begini, saya tidak mahu mereka tahu kesusahan saya, takut mereka susah hati pula,” jelasnya sebak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here