Portal berita terbaik anda

Utama

Bayaran RM9.5 juta dari Najib yuran guaman BN – Shafee

Peguam Tan Sri Shafee Abdullah mengaku menerima RM9.5 juta daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tetapi berkata bayaran itu cuma sebahagian daripada hutang yuran guaman lebih RM20 juta bagi bayaran perkhidmatan undang-undangnya untuk Umno dan Barisan Nasional.

Beliau berkata telah menjalankan kerja-kerja litigasi undang-undang bagi pihak BN sejak 1990-an tanpa bayaran retainer peguam yang khusus ketika pentadbiran terdahulu Tun Dr Mahathir Mohamad sehinggalah kepada Datuk Seri Najib Razak.

“Kes-kes yang diserahkan kepada saya dan firma saya merangkumi petisyen pilihan raya kepada litigasi serius melibatkan Umno dan Barisan Nasional. Saya ingat melakukan kerja litigasi bagi pihak Umno dan anak guam lainnya berkaitan kes saman fitnah,” katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Sepanjang tempoh itu, beliau mendakwa dirinya dan firmanya tidak mengutip bayaran untuk khidmat guaman itu kerana tiada bayaran diterima daripada Umno walaupun terdapat janji membayarnya, kecuali “beberapa bayaran kecil.”

Kata Shafee hal ini berubah apabila beliau “berpeluang bertemu” dengan Najib pada September 2013 dan membangkitkan isu mengenai bayaran yuran yang tidak diselesaikan itu.

Bayaran terkumpul sejak 90-an

“Pada ketika itu, saya sangat memerlukan wang untuk membeli sebuah hartanah daripada seorang teman yang sangat memerlukan untuk menjual hartanah berkenaan untuk membeli hartanah baru buat keluarganya,” dakwanya.

“Najib dapat tahu untuk kali pertamanya bahawa saya tidak pernah dibayar oleh Umno selama ini sejak zaman Tun Mahathir lagi dan beliau (Najib) meminta saya berapa jumlah bayaran yuran terkumpul itu sejak awal tahun 1990 an. Saya beritahu beliau jumlah keseluruhan bayaran tidak kurang daripada RM20 juta tetapi saya tidak menuntut jumlah itu.

“Saya katakan kepada beliau saya sangat gembira jika beliau dapat menyelesaikan kira-kira RM11 juta yuran kerja guaman untuk 46 petisyen pilihan raya… pada tahun 2004 dan 2006.

“Bagaimanapun, Najib bersetuju membayar RM9.5 juta sebagai penyelesaian penuh yuran guaman untuk 46 petisyen pilihanraya tetapi beliau meminta saya merasionalisasikan kertas kerjanya kemudian,” katanya.

Shafee menambah bahawa beliau bersetuju dengan penyelesaian bekas perdana menteri itu kerana beliau difahamkan bahawa Najib bertanggungjawab mengendalikan dana parti itu.

“Saya pada masa itu sama sekali tidak mengetahui sumber pembayaran kepada saya oleh Datuk Seri Najib,” katanya lagi sambil menyatakan bahawa ini diterangkan kepada SPRM dalam siasatan mengenai 1MDB.

“Saya seorang peguam bela dan peguam cara biasa yang bekerja dengan mendapat bayaran, mengapa saya diteliti apabila saya mengutip bayaran untuk kerja-kerja Umno/ BN saya?

“Jika anda membenarkan peguam diganggu seperti ini di bawah siasatan pengubahan wang haram dan lain-lain, masa depan profesion undang-undang dihalang. Ini adalah fenomena yang sedang diperhatikan badan-badan profesion undang-undang dunia.”

Kenyataan ini susulan “info baru” yang didedahkan pemimpin utama PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa Shafee menerima dua bayaran RM4.3 juta dan RM5.2 juta daripada bekas perdana menteri di antara 2013 dan 2014.

Bukti itu diserahkan kepada pasukan petugas khas peguam negara dalam afidavit balas terhadap rayuan Anwar berkaitan sabitan kes liwat keduanya yang telah mendapat pengampunan diraja sepenuhnya.

Anwar ketika perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhujah beliau dinafikan perbicaraan yang adil kerana pihak pendakwaan menerima bayaran daripada Najib, yang juga pencabar politiknya.

Loading...

Leave a Reply