Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Utama

Bawa plakad provokatif punca graduan dilarang sertai istiadat konvo – UM

KUALA LUMPUR – Seorang graduan Fakulti Perniagaan dan Perakaunan tidak dibenarkan menyertai sidang ketujuh Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya ke-59 semalam kerana didapati membawa sekeping plakad yang dilipat mengandungi perkataan-perkataan bersifat provokatif.

Universiti Malaya dalam kenyataannya memberitahu, tindakan tersebut terpaksa diambil kerana tindak-tanduk graduan berkenaan disyaki berkemungkinan mengganggu kelancaran dan keharmonian istiadat.

Berdasarkan siasatan awal, kata kenyataan itu,graduan tersebut didapati menggunakan akaun Facebooknya untuk menghasut para graduan UM yang lain untuk turut serta dalam usaha beliau mendesak Naib Canselor meletakkan jawatan.

“Apa yang kami bimbangkan adalah usaha berbentuk hasutan dengan memainkan agenda perkauman ini bukan hanya berkemungkinan mengancam keselamatan Naib Canselor, tetapi lebih daripada itu menggugat ketenteraman dan kerukunan awam terutamanya di Universiti Malaya.

“Hasil pemeriksaan ke atas graduan terbabit yang dijalankan pagi semalam, pihak kami telah menemui sekeping plakad yang dilipat, dalam pemilikan graduan tersebut yang mengandungi perkataan-perkataan yang bersifat provokatif.

“Anggota polis bantuan UM telah meminta graduan terbabit menyerahkan plakad tersebut kepada mereka,” kata kenyataan itu.

Kelmarin seorang graduan Wong Kan Ye menunjukkan plakard mendesak Naib Canselor UM, Dr. Abdul Rahim Hashim meletakkan jawatan semasa istiadat konvokesyen berlangsung.

Berikutan insiden tersebut, Universiti Malaya telah memperketatkan kawalan keselamatan bagi memastikan Istiadat Konvokesyen yang merupakan istiadat utama universiti setiap tahun berjalan dengan selamat, lancar dan sempurna tanpa sebarang gangguan yang tidak diingini.

“Anggota polis bantuan universiti telah melakukan pemeriksaan keselamatan terhadap seorang graduan dari Fakulti Perniagaan dan Perakaunan yang dijadualkan menerima ijazah beliau pada sidang ketujuh Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya ke-59 pagi semalam kerana disyaki berkemungkinan menganggu kelancaran dan keharmonian Istiadat,” kata kenyataan itu

Pemeriksaan itu, menurut Universiti Malaya, telah dibuat sebelum sidang ketujuh tersebut bermula yang membawa kepada penemuan sekeping plakad yang dilipat mengandungi perkataan bersifat provokatif.

Penemuan tersebut memperlihatkan bahawa graduan tersebut mempunyai niat untuk menganggu perjalanan Istiadat Konvokesyen yang bakal berlangsung.

Sehubungan dengan itu, bagi memastikan kelancaran dan ketenteraman Istiadat yang dihadiri oleh kira-kira 1500 tetamu termasuk para ibu bapa, para ahli akademik dan para graduan yang lain, graduan tersebut telah dibawa keluar dari Dewan Tunku Canselor dan tidak dibenarkan menyertai Istiadat Konvokesyen.

“Kami ingin sekali lagi menegaskan bahawa Universiti Malaya sentiasa mendukung prinsip kebebasan bersuara. Walau bagaimanapun, sebagai institusi pengajian tinggi yang memegang amanah besar untuk mendidik generasi masa depan, kami juga percaya bahawa kebebasan itu perlu dilengkapi dengan tanggungjawab.

“Justeru, apa jua tindakan berlandaskan prinsip tersebut perlu dilakukan pada tempat dan dengan cara yang sesuai,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Comment

  1. elok letak polis yg faham bahasa china. Budak2 hanyaq nihhh kuat mencarut berselang seli…..

Leave a Reply

Theme by Anders Norén