Portal berita terbaik anda

Politik

Batal operasi khalwat: Tun M pertahan kenyataan Dr Mujahid

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk mencari kesalahan dan keaiban hingga menceroboh privasi orang lain.

Perdana Menteri berkata, tindakan agresif pihak tertentu dalam operasi khalwat sebelum ini hingga menceroboh masuk ke dalam rumah orang lain, tidak mencerminkan Islam yang sebenar.

“Islam tidak suruh kita pergi cari orang, nak cari salah orang saja. (Islam) tak suruh.

“Sampai nak kerabat (panjat) masuk dalam rumah orang, itu bukan Islam,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Penuaan, Pembelajaran dan Teknologi: Menambah Nilai Kehidupan dan Hubungan Komuniti di Petrosains di sini, hari ini.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Presiden Persatuan Media Era Ketiga, Cheah Tuck Wing.

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, yang berkata pihak berkuasa agama tidak akan lagi mengetuk dan memecahkan pintu pada waktu malam bagi menyiasat atau melaksanakan operasi khalwat.

Gambar hiasan

Dalam satu temu bual dengan sebuah akhbar berbahasa Inggeris, Mujahid dilaporkan berkata, apa yang dilakukan orang Islam di sebalik pintu tertutup bukanlah urusan kerajaan.

Perdana Menteri berkata, Islam bukan agama yang kejam dan tidak berlegar dalam ruang lingkup menghukum manusia dengan memotong kepala dan tangan.

Katanya, terdapat banyak kaedah untuk menghukum kesalahan dalam Islam yang lebih ringan, namun terdapat kumpulan tertentu yang mahu memotong kepala dan tangan orang lain dan itu tidak mencerminkan Islam sebenar.

“Agama mengambil berat tentang nyawa seseorang. Bukan mudah nak bunuh orang, potong kepala sebab tindakan itu adalah membunuh.

“Islam tidak bersetuju dengan tindakan membunuh seseorang dan ia adalah satu dosa,” katanya.

Loading...

Leave a Reply