Bapa simbah air panas pada badan anak perempuan akhirnya ditahan polis

SELEPAS lebih seminggu hidup sebagai pelarian, seorang bapa yang menyimbah air panas pada badan anak perempuannya di Flat Kampung Melayu, Air Itam, Pulau Pinang minggu lalu, akhirnya ditahan polis pagi tadi.

Lelaki berusia 41 tahun itu ditahan di hadapan sebuah kedai di Jalan Paya Terubong kira-kira pukul 10 pagi.

Ketika ditahan, suspek berada bersama isterinya yang berusia 34 tahun yang turut melarikan diri selepas kejadian tersebut bersama anak bongsu mereka.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, ujian air kencing ke atas suami isteri berkenaan didapati negatif dadah selain kedua-dua mereka juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Polis akan menjalankan soal siasat ke atas kedua-dua mereka sebaik sahaja mendapat permohonan reman dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 13 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya kepada pemberita hari ini.

Dalam kejadian 27 Disember lalu, suspek dikatakan bertindak di luar batasan terhadap anak perempuannya yang berusia lapan tahun itu kerana berang selepas mendapati makanan di rumah mereka dihabiskan empat anaknya.

Difahamkan, kejadian itu berlaku ketika suspek yang bekerja sebagai ejen jualan kad prabayar baru pulang dari bekerja kira-kira pukul 1 pagi.

Selain memarahi dan memukul anak-anaknya, suspek juga didakwa menyimbah semangkuk air panas yang diambil dari penapis minuman yang terletak di bahagian ruang tamu rumah mereka ke arah mangsa.

Kejadian itu dikatakan disaksikan anak-anak serta isterinya, namun isteri suspek hanya melihat dan tidak menghalang tindakan suspek tersebut. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *