Bapa jual barang bantuan diterima demi dapatkan wang beli susu anak

KUALA LUMPUR – Seorang bapa sanggup menjual barang keperluan asas yang diterima demi mendapatkan wang untuk membeli susu tepung buat bayinya.

Menurut Norazura Che Hamid, 34, dia terkejut apabila anak lelakinya memaklumkan ada dua individu tidak dikenali di hadapan rumah yang meminta untuk bertemu dengan suaminya.

“Mereka datang sekitar pukul 3.40 petang tadi dan saya suruh anak beritahu orang itu ayah ada di rumah tapi sedang sibuk walaupun suami saya sebenarnya sedang bekerja di luar kerana risau terima kunjungan orang yang tidak dikenali.

“Anak kemudian memaklumkan kepada individu tersebut sebelum dia cakap mahu bertemu dengan saya sendiri. Individu itu menyapa saya dengan nada suara yang terketar-ketar selain meminta maaf beberapa kali kerana mengganggu saya di rumah.

“Saya kata tidak mengapa dan terus bertanyakan tujuannya datang ke sini kerana saya nampak dia bawa plastik berwarna kuning yang berisi barangan keperluan.

“Dia terus beritahu saya yang dia sangat memerlukan duit untuk membeli susu tepung buat bayinya dan ingin menjual beras, tepung dan minyak masak yang diterimanya dari pusat zakat,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Norazura berkata, dia tidak dapat menahan sebak melihat keadaan lelaki tersebut bersama anak perempuannya kerana dilihat benar-benar memerlukan bantuan.

Jelas Norazura, tanpa berlengah dia terus mengeluarkan wang untuk diberikan kepada lelaki itu selain bertanya mengenai keadaan keluarganya.

Tambah Norazura, lelaki terbabit memaklumkan dia menerima bantuan daripada pusat zakat kerana tergolong di bawah keluarga asnaf.

“Dia kata pada saya memang langsung tiada duit sebab itu terpaksa jual barang-barang yang diterima selain sanggup mencatu makanan semata-mata mahu membeli susu tepung.

“Lelaki itu turut beritahu bayinya ada bersama isteri di rumah kerana isterinya itu sedang sarat mengandung,” ujarnya.

Menurut Norazura, lelaki itu memberitahu bahawa beliau bekerja sebagai pemandu namun telah diberhentikan kerja.

Beliau yang menetap di Sungai Buloh, Selangor itu sempat mengambil nombor telefon lelaki tersebut dan marancang untuk menyalurkan bantuan kepadanya sehingga beliau mampu mencari pekerjaan lain.

Berkongsi lanjut, Norazura berkata, dia berniat untuk terus menghulurkan bantuan kepada individu berkenaan sehingga mampu mencari pekerjaan lain.

“Saya salah seorang usahawan dibawah naungan Mamasab Bakery jadi saya nak bantu abang tu bersama keluarganya, saya nak ajar dia berniaga dengan jual kek dan manisan Mamasab bagi tampung perbelanjaan harian sementara mencari kerja lain.

“Saya nak hulur bantuan kewangan terus-menerus memang tak mampu tapi saya boleh bantu dengan kongsi serba sedikit ilmu perniagaan yang ada dengan mereka yang kurang bernasib baik,” kata ibu kepada tiga orang anak itu. – MalaysiaGazette

Loading...

Leave a Reply