Portal berita terbaik anda

Utama

Bantuan kepada pekebun RISDA bukti Tun M prihatin – Azmin

Menteri hal ehwal ekonomi berkata bantuan yang disalurkan kepada pekebun kecil getah yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) disebabkan keprihatinan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Azmin berkata, disebabkan itu peruntukan tersebut dapat diagihkan meskipun kerajaan kini menghadapi kekangan kewangan.

“Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad amat cakna dan prihatin dengan kesulitan yang dihadapi oleh penoreh dan pekebun kecil getah.

“Walaupun kerajaan menghadapi kekangan kewangan, perdana menteri menegaskan agar agenda untuk menjaga kepentingan golongan berpendapatan rendah, khususnya penoreh dan pekebun kecil getah, diberi keutamaan oleh kementerian-kementerian yang berkaitan,” kata Azmin dalam satu kenyataan hari ini.

Azmin berkata demikian sehari selepas Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan bantuan musim tengkujuh (BMT) kepada seramai 274,639 pekebun kecil Risda.

Tambah Azmin, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) sebagai kementerian bertanggungjawab telah berusaha gigih memperjuangkan kebajikan pekebun kecil Risda.

“Melihat situasi semasa melibatkan penoreh dan pekebun kecil getah, MEA telah memperjuangkan keperluan untuk golongan sasar ini diberikan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) bagi meringankan beban yang ditanggung.

“Melalui usaha sama yang rapat di antara MEA dan Kementerian Kewangan, kerajaan telah membuat keputusan untuk memperuntukkan RM164,783,400 bagi membiayai BMT kepada 274,639 pekebun kecil getah yang berdaftar dengan Risda,” jelasnya.

Menurutnya, jumlah ini meliputi 255,997 pemilik pengusaha iaitu pekebun yang mengusahakan sendiri kebun dengan keluasan tidak melebihi 2.5 hektar dan 18,642 orang penoreh bukan pemilik.

“Mereka akan menerima bantuan sebanyak RM600 dan akan dibayar dalam dua perperingkat; RM300 pada akhir tahun ini dan RM300 lagi pada awal tahun 2019,” kata Azmin.

Loading...

Leave a Reply