‘Bang, duit terjatuh’ – RM61,400 lesap disamun sindiket tabur duit

0
390

PETALING JAYA: Sekumpulan warga asing menggunakan modus operandi dengan menabur beberapa wang tunai di atas jalan sebelum memaklumkan kepada mangsanya bahawa wang berkenaan milik mangsa yang tercicir.

Sasaran kumpulan ini adalah individu yang baru mengeluarkan wang tunai dalam jumlah yang banyak di bank sebelum bertindak menyamun mangsa ketika mangsa mahu mengambil wang yang tercicir seperti didakwa.

Terbaru, seorang penuntut lelaki berusia 22 tahun menjadi mangsa kumpulan ini apabila wang berjumlah RM61,400 yang baru sahaja dikeluarkan dari sebuah bank di Kota Damansara, di sini, dilarikan kumpulan berkenaan, 5 Julai lalu.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Toh berkata, dia mengeluarkan wang di kaunter bank sebelum menjemput nenek dan adiknya di lokasi berhampiran bank itu.

“Sebaik tiba, saya memberhentikan kereta, seorang lelaki warga asing menghampiri kenderaan dan mengetuk tingkap sambil mendakwa ada wang saya terjatuh. Saya keluar dari kenderaan, namun tiba-tiba terdengar bunyi pintu penumpang depan dibuka seseorang.

“Saya nampak seorang lelaki warga asing sedang mengambil beg mengandungi wang dan membawanya lari. Lelaki yang menegur saya juga turut melarikan diri bersama lelaki yang mengambil wang dari kereta menggunakan sebuah kereta Toyota Vios berwarna putih dipandu seorang lelaki warga asing,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Toh, dia kemudiannya membuat laporan di balai berhampiran dan mendapat maklumat mengenai modus operandi kumpulan berkenaan.

“Seorang daripada mereka akan menunggu dalam bank dan memantau mangsa yang mengeluarkan wang tunai dalam jumlah yang banyak. Suspek kemudian mengekori mangsa dan menabur wang tunai berhampiran kereta mangsa dan memaklumkan wang mangsa tercicir.

“Mangsa yang tertipu akan keluar dari kenderaan untuk mengambil wang berkenaan sebelum seorang lagi suspek akan membuka pintu kereta dan mengambil beg mengandungi wang sebelum melarikan diri menggunakan kenderaan dipandu seorang lagi suspek yang menunggu di lokasi berhampiran,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan usaha untuk mengesan suspek giat dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan 395 Kanun Keseksaan. Pihak polis mengingatkan orang ramai agar memastikan kenderaan dalam berkunci setiap kali keluar dari kenderaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here