Portal berita terbaik anda

Sukan

Baju ‘pink’ bawa tuah buat Irfan Bakti?

KUALA TERENGGANU: Warna merah jambu atau ‘pink’ tidak dapat dipisahkan dengan Irfan Bakti Abu Salim ketika beliau mengendalikan mana-mana pasukan.

Namun, sambil berseloroh jurulatih Terengganu FC (TFC) itu menafikan ada unsur ‘mistik’ setiap kali beliau memakai baju kemeja berwarna itu di padang.

Sebaliknya, jurulatih yang penuh dengan pengalaman itu mengakui tujuan beliau memakai baju berkenaan adalah bagi memudahkan dirinya serta pegawai bertugas ketika perlawanan.

“Tiada… tiada unsur itu (mistik), saya pakai warna itu sebab saya suka. Selain itu ia memudahkan saya kerana tidak perlu fikir untuk tukar baju lain sekiranya warna sama dengan pemain pasukan lawan atau pegawai bertugas.

“Setakat ini saya ada 12 helai koleksi baju berwarna itu. Pernah seorang peminat minta baju berkenaan katanya untuk buat kenangan.

“Walaupun di baju itu tertera nama saya, saya berikan kepadanya sebagai menghargai sokongannya,” ujar Irfan.

Sebelum ini, peminat tertanya-tanya mengapa jurulatih berpengalaman itu sering kali mengenakan baju kemeja berwarna itu.

Irfan yang mendapat khabar gembira selepas kontraknya disambung musim depan bakal mengenakan baju kegemarannya itu dalam aksi final Piala Malaysia antara Terengganu dan Perak, malam esok.

Loading...

Leave a Reply