Portal berita terbaik anda

Politik

Bajet Terengganu 2019: Baki royalti RM500 juta belum dibayar

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri berharap menerima baki bayaran royalti minyak dan gas untuk tahun ini berjumlah antara RM400 juta hingga RM500 juta daripada PETRONAS sebelum akhir tahun ini.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata setakat ini, kerajaan negeri menerima RM300 juta yang dibayar sebanyak dua kali iaitu pada Ogos dan awal Oktober.

“Jumlah ini diterima sejak kerajaan baharu (Pakatan Harapan) mengambil alih pemerintahan Kerajaan Persekutuan dan pengiraan dilakukan oleh PETRONAS berdasarkan pengeluaran sebelum dihantar kepada Perbendaharaan.

“Kita amat berharap akan menerima baki berjumlah antara RM400 juta hingga RM500 juta ini sebelum akhir tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas membentangkan Belanjawan 2019 Terengganu di lobi Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, untuk Belanjawan 2019 negeri, lebih RM1.7 bilion yang tercatat sebagai terimaan bukan hasil, dijangka diperoleh daripada hasil royalti minyak dan gas.

Bagaimanapun katanya, jumlah berkenaan tidak termasuk baki bayaran antara RM400 juta hingga RM500 juta yang masih belum dijelaskan.

“Kita berharap tahun depan akan bermula episod baharu membabitkan pembayaran royalti minyak dan gas untuk Terengganu,” katanya.

Loading...

Leave a Reply