Bajet 2020: Pakar ekonomi akui SST tidak cekap dan perlu diganti

BEBERAPA pakar ekonomi termasuk dari pihak kerajaan mengakui sistem percukaian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang menggantikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak cekap dan perlu diganti.

Antara mereka, Profesor Dr Barjoyai Bardai, berkata kerajaan perlu mencari jalan untuk memastikan pelaksanaan sistem percukaian yang lebih cekap.

“Kerajaan perlu memastikan SST lebih cekap berbanding GST bagi mengimbangi sistem percukaian yang digunakan sebelum ini.

“Mungkin kerajaan boleh mengubah kandungan atau liputan SST, supaya dapat tangani apa dicapai GST yang lepas,” katanya kepada Malaysiakini.

Perkara sama juga turut diperakui, bekas ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Prof Dr Jomo Kwame Sundaram yang menggesa kerajaan supaya menggantikan SST kepada sistem percukaian pintar.

Memetik laporan BH, Jomo mengakui masa semakin suntuk untuk kerajaan mengubah sistem percukaian negara, sempena pembentangan Belanjawan 2020 yang dijadualkan pada 11 Oktober ini.

Katanya, peralihan kaedah penjanaan pendapatan untuk negara wajar bersandarkan sistem percukaian pintar yang berteraskan model lebih progresif.

Isu percukaian menjadi polemik menjelang Belanjawan 2020 yang akan berlangsung 11 November nanti, apabila ada pihak mahukan GST dikembalikan ekoran SST dilihat tidak efisien.

Semalam, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) berharap kerajaan memperkenalkan semula GST dalam Belanjawan 2020 untuk menutup jurang kewangan kerajaan.

Pengerusi MIER Dr Kamal Salih, berkata cukai kepenggunaan itu adalah sistem percukaian yang adil dan cekap, berbanding sistem SST.

Dalam pada itu, Barjoyai berkata adalah paling penting Belanjawan yang diumumkan kerajaan menyentuh keperluan rakyat.

Beliau berkata, bagi memastikan kemakmuran besama dapat dikecapi, isu kemiskinan harus menjadi salah satu fokus utama kerajaan.

Loading...

Leave a Reply