Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Utama

Bahana teguk 2 tin air berkarbonat setiap hari

“MENYESAL pun dah tidak berguna lagi. Inilah akibatnya kalau gemar ambil gula berlebihan,” demikian kata Mohd Razin Mohamed, 56, yang mengidap kencing manis hingga menyebabkan sebahagian kulit dari belakang hingga bahu kanan terpaksa dilapah dan dibuang akibat dijangkiti kuman.

Bekas kakitangan syarikat telekomunikasi itu menjalani pembedahan membuang sebahagian kulit di Hospital Sungai Buloh tahun lalu selepas pemeriksaan mendapati bahagian terbabit dijangkiti kuman akibat kencing manis.

Menurut Mohd Razin, dia mula mengidap kencing manis pada usia 40 tahun selepas terlalu kerap mengambil minuman berkarbonat terutama waktu makan tengah hari.

Katanya, setiap kali keluar minum, dia akan membeli sekurang-kurangnya dua tin minuman berkarbonat sehari tanpa memikirkan kesan terhadap kesihatan sekiranya mengambil gula berlebihan.

“Saya hanya tahu mengidap kencing manis selepas mendapati ada semut mengerumuni tempat saya kencing. Selepas itu, saya ke klinik dan doktor menasihatkan supaya mendapatkan rawatan di hospital,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, keadaan bertambah teruk apabila terdapat bisul tumbuh di belakangnya yang mana ia tidak sembuh sejak berbulan-bulan lamanya.

Bimbang sesuatu berlaku terhadapnya, Mohd Razin kemudian mendapatkan rawatan di hospital dan perlu menjalani pembedahan dengan segera.

“Daripada sebesar ibu jari, bisul itu merebak dan saiznya hampir sebesar tapak tangan. Saya bernasib baik kerana cepat mendapatkan rawatan memandangkan jangkitan itu sudah hampir ke tulang.

“Jika tidak, sudah tentu kena potong. Pembedahan dibuat dua kali di mana kulit yang terkena jangkitan terpaksa dibuang manakala nanah pula dicuci.

“Kesan pembedahan menyebabkan saya sukar mengangkat tangan kanan manakala kesan melekuk di belakang akibat kulit tidak rata,” katanya yang menetap di Bukit Sentosa, Rawang.

Mohd Razin berkata, buat masa sekarang, dia perlu mendapatkan rawatan susulan termasuk memakan ubat bagi mengawal kandungan gula dalam badan.

Walaupun keadaan semakin pulih, dia nekad berpantang terutama dalam pengambilan gula bagi mengelak tahap gula naik mendadak.

“Disebabkan kandungan gula tinggi pada ketika itu, saya pengsan tiga kali ketika ke tempat kerja berdekatan Masjid Jamek, Kuala Lumpur,” katanya.

1 Comment

  1. hamba allah

    inshallah cuba ramuan ini hempedu bumi, batawali, tunjuk langit yang paling penting habatus sauda dan selawat nabi saw sebelum makan inshallah cuba iktihar

Leave a Reply

Theme by Anders Norén