Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Utama

Bagaimana Al-Arqam bina empayar bernilai RM500 juta suatu ketika dahulu

JIKA ditanya pada generasi terdahulu, mereka mungkin tahu mengenai pertubuhan dakwah kontroversi iaitu Gerakan Dakwah Jemaah Darul Al-Arqam atau Al-Arqam.

Pertubuhan ini barangkali boleh dianggap berpengaruh dalam kalangan umat Islam di Malaysia.

Ia juga turut mengundang pelbagai tanggapan negatif kerana tampil dengan perbezaan ajaran Islam yang dibawa sehingga ia dianggap sebagai satu ajaran yang perlu dihapuskan.

Bagaimanapun, penglibatan pertubuhan ini dalam perniagaan berjaya memecahkan monopoli orang bukan islam dalam bidang ekonomi.

Tetapi akibat daripada kegagalan ‘master-mind’ Al-Arqam yang hanya fokus dalam bidang ekonomi sahaja telah menyebabkan kejatuhan pertubuhan ini.

Melalui satu perkongsian di Facebook Zayed Zulkifli, beliau berkongsi pengalamannya dengan Al-Arqam.

Menurut beliau, kejayan Al-Arqam ini bukan hanya dalam bidang ekonomi malah juga akademik.

Pertubuhan ini mempunyai tadika, sekolah dan klinik. Malah, orang-orang yang terdekat dengan beliau iaitu sepupu beliau sendiri pernah bersekolah di tadika Al-Arqam.

Ketika di zaman kolejnya pula, Zayed memberitahu beliau mempunyai seorang rakan yang merupakan pengikut tegar Al-Arqam.

Melalui rakannya inilah, dia berpeluang membaca beberapa majalah komik Al-Arqam dan berkesempatan bersoal jawab dengan rakannya mengenai mengapa pertubuhan tersebut tidak haram dan sesat.

Selain itu, turut diceritakan di kampung beliau ada satu gerai di pasar malam tersebut yang menjual roti khurasan yang sangat laris.

Pemiliknya merupakan seorang pengikut Al-Arqam dan setiap kali berniaga, beliau akan memakai jubah hijau dan serban hijau yang merupakan pakaian seragam Al-Arqam.

Perniagaan tersebut bertahan sehingga kini namun diteruskan oleh legasi anaknya pula. Cuma bezanya tiada lagi pakaian Al-Arqam tersarung di tubuh anaknya.


Anda pasti kenal dan pernah mendengar lagu daripada kumpulan nasyid seperti Rabbani, Raihan dan Hijjaz bukan?

Untuk pengetahuan anda, kumpulan nasyid ini sebenarnya berasal daripada pertubuhan Al-Arqam.

Pada mulanya kumpulan nasyid ini menggunakan nama Nada Murni sebelum diberi penjenamaan semula dengan nama Rabbani dan Hijjaz. Manakala, The Zikr pula muncul dengan nama Raihan dan nama tersebut kekal sehingga kini.

Berdasarkan data yang dikeluarkan sehingga tahun 1993, Al-Arqam dianggarkan telah mengendalikan 417 projek ekonomi, termasuklah 56 buah kilang perusahaan yang mengeluarkan 60 jenama barangan yang berlainan, 20 buah pasar mini, 52 buah kedai runcit, 36 buah kedai buku, 21 buah kedai jahitan, 12 buah bengkel kenderaan, 18 buah restoran, 33 buah bas dan 20 buah teksi.

Banyak kejayaan yang telah ditempa oleh pertubuhan ini yang suatu ketika dahulu pernah berjaya mencipta empayar besar di Malaysia dengan nilai lebih RM500 juta serta berjaya mempengaruhi pengikutnya dalam pelbagai sudut.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén