Portal berita terbaik anda

Politik

Azmin Ali lepaskan jawatan MB Selangor

PUTRAJAYA – Datuk Seri Mohamed Az­min Ali mengesahkan beliau akan melepaskan jawatan Menteri Besar Selangor sekiranya mendapat perkenan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menurut Mohamed Azmin, be­liau akan menghadap baginda dalam masa terdekat bagi membincangkan tugas baharu di peringkat Persekutuan seperti yang dimaklumkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Sehingga hari ini saya masih lagi memegang jawatan sebagai Menteri Besar Selangor namun, sekiranya keputusan dibuat untuk saya membantu kerajaan Persekutuan saya akan lepas jawatan berkenaan.

“Kedudukan saya selaku Menteri Besar akan diumumkan secara rasmi selepas menghadap Sultan Selangor. Proses ini perlu berlangsung dalam keadaan baik, teratur dan tertib kerana melibatkan mandat rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menga­dakan pertemuan dengan Dr. Mahathir di Yayasan Kepimpinan Per­dana di sini hari ini bagi membincangkan peranannya selaku Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Mengulas lanjut, Mohamed Az­min berkata, pertemuan itu dibuat bagi membolehkan beliau mendapat gambaran lebih jelas berhubung peranannya.

“Saya datang untuk mendapatkan penjelasan tentang peranan yang akan dimainkan di kemente­rian baharu. Dr. Mahathir telah jelaskan dan saya perlu meneliti semu­la perkara ini dan beliau me­minta saya kembali untuk memberikan cadangan tambahan.

“Ini kementerian baharu dan pastinya ada cabaran besar dalam tempoh beberapa minggu akan datang untuk tampil dengan polisi dan strategi baharu. Saya juga memerlukan pasukan yang kuat untuk memacu kementerian ini,” katanya.

Loading...

Leave a Reply