Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Nahas & Bencana

‘Ayah terkilan gagal selamatkan ibu, dua adik’

“AYAH ada meluahkan rasa terkilan kerana tidak dapat menyelamatkan ibu dan dua adik, berulang kali dia menyatakannya.

“Mungkin ayah masih sukar untuk menerima kenyataan kehilangan tiga insan tersayang dalam sekelip mata,” kata Nordiana Hairol, 15.

Nordiana adalah anak kepada Sharifah Azlina Syed Kassim, 37, yang maut dalam tragedi kebakaran di Sungai Isap 2, Kuantan pada Ahad lalu, yang turut mengorbankan dua lagi anaknya, Muhammad Haikal Hakimi Hairol, 11, dan Muhammad Adam Daniel Hairol, 7.

Dia berkata, ayahnya, Hairol Khalid, 38, masih menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) akibat melecur di belakang badan dan muka.

Katanya, selepas kejadian itu ayahnya lebih banyak mendiamkan diri dan sering menyatakan rasa terkilannya.

“Ayah ada beritahu dia sempat menarik ibu keluar dari rumah selepas menyedari kebakaran itu, namun ibu masuk semula ke dalam rumah…mungkin mahu menyelamatkan adik-adik.

“Selepas itu ibu langsung tidak keluar, sebab itu ayah diselubungi rasa terkilan kerana merasakan dia gagal menyelamatkan mereka,” katanya.

Nordiana berkata demikian selepas diziarahi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Sungai Isap 2, hari ini.

Katanya, ketika kejadian dia tinggal bersama ibu saudaranya di Indera Mahkota dan dimaklumkan mengenai tragedi oleh saudaranya sebelum bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, dia bekerja sebagai pembantu kedai makan untuk membantu menampung perbelanjaan keluarganya dan hanya bersekolah sehingga tingkatan satu.

“Saya hanya bersekolah selama dua bulan sahaja ketika di tingkatan satu kerana kesempitan hidup dialami keluarga, saya mengambil keputusan untuk berkerja bagi membantu keluarga.

“Namun, jauh di sudut hati saya mahu menyambung kembali persekolahan, hendak juga tamat sekolah,” katanya.

Ditanya perancangannya selepas ini, Nordiana berkata, dia mungkin akan tinggal bersama neneknya di Kampung Baru, Sitiawan, Perak selepas Hairol dibenarkan keluar dari hospital.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén