Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Utama

ASB, Tabung Haji hanya mengkayakan segelintir Melayu – Nik Nazmi

Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan untuk membasmi kemiskinan dan sepatutnya tamat pada tahun 1990, kini digunakan untuk memanfaatkan segelintir elit Melayu, kata Nik Nazmi Nik Ahmad.

Anggota Parlimen Titiwangsa itu berkata, DEB bukan sahaja bertahan selepas itu malah jurang antara Melayu kaya dan miskin juga bertambah.

Beliau memberikan contoh bagaimana Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Tabung Haji (TH) hanya menguntungkan segelintir elit Melayu yang kaya, berbanding Melayu berpendapatan rendah seperti kelompok miskin bandar, kakitangan rendah kerajaan, nelayan atau peneroka Felda.

“76.92 peratus, atau 7.4 juta pemegang unit (ASB) mempunyai saiz unit bawah RM5,000 mengikut Laporan Tahunan ASB 2018. Hanya 0.24 peratus mempunyai saiz pegangan RM500,001 ke atas.

“9.15 peratus pemegang unit melanggan 81.83 peratus jumlah unit atau lebih RM127.5 bilion. 7.4 juta pemegang unit terkecil hanya mempunyai simpanan RM4.1 bilion atau sekadar 2.65 peratus jumlah unit,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, DEB digantikan dengan Dasar Pembangunan Nasional pada 1991, namun elemen dan semangat DEB masih diteruskan hingga kini.

Nik Nazmi berkata antara ukuran jurang ekonomi ialah pekali Gini iaitu 0 melambangkan kesaksamaan maksima di mana semua individu mendapat pendapatan yang sama, manakala 1 adalah ketidaksamaan maksima.

Katanya, meskipun wujud penambahbaikan jurang antara kaya dan miskin di Malaysia secara keseluruhan dari 1970 (0.513) hingga 2016 (0.399) tetapi pekali Gini akaun ASB adalah sebanyak 0.84.

“Begitu juga statistik simpanan Tabung Haji. Fungsi utama Tabung Haji sebagaimana gagasan Profesor Diraja Ungku Aziz adalah untuk tabungan masyarakat Islam menunaikan ibadah haji, bukan sebagai pelaburan umum.

“Namun 50 peratus daripada jumlah simpanan Tabung Haji dicarum oleh 1.3 peratus pencarum sahaja.

“Seorang individu mencarum RM190 juta! Hamba Allah ini pada 2017, ketika Tabung Haji sebenarnya tidak boleh memberikan hibah mengikut Akta Tabung Haji kerana liabiliti melebihi aset, menerima hibah sebanyak lebih RM8 juta pada kadar hibah 4.5 peratus!” jelas Nik Nazmi.

‘Hadkan pelaburan ABS, simpanan TH’

Oleh sebab itu, katanya, kerajaan perlu memikirkan sama ada akaun-akaun ASB yang lebih daripada had pelaburan RM200,000 boleh melaburkan semula dividen mereka atau perlu mengutamakan akaun-akaun di bawah nilai itu yang merupakan majoriti lebih besar.

“Kini, pelaburan (ASB) dihadkan pada RM200,000, tetapi akaun masih boleh memungut dividen yang boleh dilaburkan di atas nilai tersebut, yang hanya memanfaatkan elit Melayu yang sangat kecil.

“Tabung Haji juga wajar dihadkan sebagai simpanan haji pada kadar muassasah, bukan tabung pelaburan umum.

“Pada 2019 kos haji muassasah adalah RM22,900 dan subsidi Tabung Haji adalah RM12,920. Maka mereka yang menunaikan ibadah haji hanya perlu menabung RM9,980,” katanya.

Menurut Nik Nazmi beliau yakin cadangan tersebut akan menimbulkan kontroversi, namun menegaskan isu tersebut harus ditangani dengan jujur.

“Jika kita tidak bersedia berdepan dengan isu-isu ini secara jujur, lebih gemar membakar emosi untuk keuntungan politik jangka masa pendek, orang Melayu dan Islam biasa akan terus ketinggalan,” katanya.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén