Portal berita terbaik anda

Dunia

AS tewas jika berperang dengan China, Rusia

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) mungkin tewas jika berlaku pepe­rangan dengan Rusia atau China, menurut laporan sebuah panel kongres dwipartisan mengenai tahap keselamatan negara dan ketenteraan negara itu kelmarin.

Kesimpulan itu dikemukakan oleh Suruhanjaya Strategi Pertahanan Kebangsaan yang meneliti Strategi Pertahanan Kebangsaan (NDS) Presiden AS, Donald Trump yang sebelum ini menggariskan satu era ‘persaingan kuasa besar’ dengan Moscow dan Beijing.

Panel yang ditubuhkan oleh Kongres itu dianggotai oleh satu kumpulan bekas pegawai-pegawai atasan Parti Demokrat dan Republikan.

Panel tersebut mendapati ketika Jabatan Ketente­raan AS berdepan potongan peruntukan dan penurunan keupayaan ketenteraan, negara-negara seperti China dan Rusia semakin giat memajukan pembangunan dalam usaha ‘meneutralkan kekuatan AS’.

“Keunggulan ketente­raan AS yang merupakan tulang belakang kepada ke­selamatan kebangsaan dan pe­ngaruh global telah menyusut kepada paras berbahaya,” kata suruhanjaya itu.

Laporan panel itu mendapati AS memberi fokus kepada operasi-operasi menangani pemberontakan pada abad ini sekali gus menyebabkan tergelincir dalam bidang tempur-perang se­perti pertahanan misil, operasi angkasa lepas dan siber, perang antipermukaan laut dan antikapal selam.

“Ia mungkin satu persaingan untuk menang atau kalah, satu peperangan ke atas China atau Rusia. AS berada dalam ancaman ditewaskan sekiranya tentera dipaksa untuk bertempur dalam dua atau lebih serangan serentak,” kata laporan itu.

Walaupun Pentagon pada tahun ini menerima peruntukan lebih AS$700 bilion (RM2.93 trilion), jauh lebih tinggi berbanding kombinasi Rusia dan China, suruhanjaya berkenaan menyatakan jumlah itu masih ‘kurang mencukupi’ untuk mencapai matlamat yang digariskan oleh NDS. – AFP

Loading...

Leave a Reply