Portal berita terbaik anda

Utama

AS pulangkan AS$300 juta dana 1MDB kepada Malaysia

Kerajaan hari ini mengumumkan bahawa sebanyak US$300 juta daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah dipulangkan kepada Malaysia oleh kerajaan Amerika Syarikat.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata jumlah itu merupakan dana diperoleh semula hasil daripada penyitaan aset berkaitan 1MDB di bawah Inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat.

“Pada 30 Okt 2019, penjenayah dikehendaki Malaysia, Jho Low telah mencapai penyelesaian dengan DOJ berkenaan beberapa tuntutan pelucutan hak yang telah difailkan oleh jabatan itu ke atas aset-aset yang telah dibeli Jho Low menggunakan dana 1MDB.

“Jumlah AS$300 juta ini merangkumi beberapa aset yang telah dilucut hak dan dijual, serta juga aset berkaitan 1MDB yang telah disita dan diserahkan kembali oleh individu tertentu berkait dengan Jho Low,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Muhyiddin berkata pemulangan US$300 juta itu bermakna dana 1MDB yang telah dikembalikan kepada Malaysia sama ada dalam bentuk hasil proses penjualan ataupun aset secara keseluruhannya kini berjumlah US$620 juta.

Perdana Menteri berkata proses untuk menjual baki aset yang disita daripada Jho Low masih diteruskan atas keputusan penghakiman DOJ.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Amerika, terutamanya kedutaan negara itu di Kuala Lumpur atas bantuan dan kerjasama utuh dalam melancarkan pemulangan wang berjumlah US$300 juta ini.

“Saya juga berterima kasih kepada Menteri Kewangan Malaysia dan Peguam Negara atas peranan mereka dalam proses rundingan yang berkaitan,” katanya.

Muhyiddin berkata usaha untuk mendapatkan semula aset 1MDB di seluruh dunia masih berjalan, dan kerajaan akan terus bekerjasama dengan Amerika Syarikat, DOJ dan agensi luar negara untuk membawa pulang lebih banyak aset 1MDB pada masa akan datang.

Malaysia terima AS$620 juta dari AS setakat ini

Malaysia setakat ini telah menerima sejumlah AS$620 juta (AS$1 = RM4.32) dari Amerika Syarikat (AS) sejak usaha mendapatkan semula aset-aset 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dimulakan pada Jun 2018.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, dana itu termasuk AS$57 juta hasil penyelesaian dengan Red Granite Pictures (dikreditkan pada Mac 2019).

“Selain itu, AS$137 juta pula hasil jualan kepentingan Jho Low dalam Hotel Park Lane (dikreditkan pada April 2019) dan AS$126 juta hasil jualan kapal layar mewah, Equanimity oleh Mahkamah Admiralti Kuala Lumpur (dikreditkan dalam akaun amanah pada Disember 2019),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, tranche terakhir membabitkan pengembalian dana sebanyak AS$300 juta yang dikreditkan pada April merangkumi wang atau aset dikaitkan dengan 1MDB yang diperoleh semula dan dilucutkan atau diserahkan kepada Jabatan Kehakiman (DOJ) AS.

“Usaha mendapatkan semula aset-aset berkaitan 1MDB masih dijalankan dan Kementerian Kewangan (MOF) akan terus memberi kerjasama penuh kepada semua entiti siasatan domestik dan luar bagi memastikan hasil positif semua usaha ini di masa depan,” katanya.

Tengku Zafrul turut menzahirkan penghargaan kerajaan Malaysia kepada kerajaan AS dan DOJ yang membabitkan usaha mendapatkan semula aset-aset milik Malaysia.

“Bagi pihak kerajaan, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Kedutaan Besar AS di Kuala Lumpur khususnya Duta Besar Kamala Shirin Lakhdhir yang sentiasa berhubung rapat dengan MOF dan Jabatan Peguam Negara sejak beberapa minggu lalu.

“Semangat perundingan yang gigih itu telah memudahkan lagi usaha pengembalian wang berkenaan kepada rakyat Malaysia. Kita juga berterima kasih di atas sokongan oleh rakan-rakan di pelbagai negara yang membantu Malaysia mendapatkan semula aset-aset berkaitan 1MDB ini,” katanya. – Bernama

Loading...

Leave a Reply