Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Viral

‘Arwah, insan yang terpilih’ – Sahabat meninggal akibat kanser, lelaki ini dapat pengajaran bermakna dalam hidupnya

Kehilangan sabahat karib yang sama-sama dalam susah dan senang begitu memeritkan dan sangat sukar untuk dilupakan.

Itulah yang berlaku kepada Pengurus Besar Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim), Mohd Hakim Mohd Nor yang baru kehilangan sahabatnya, Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob yang meninggal dunia akibat kanser usus, awal pagi semalam.

Namun, bagi Mohd Hakim, pemergian sahabat yang dipanggil Abang Raja itu telah memberikan pengajaran yang cukup bermakna dalam hidupnya.

Ikuti perkongsian beliau di bawah:

Semalam saya kehilangan sahabat yang cukup besar maknanya dalam hidup saya.

Namun, kehilangan ini juga menyebabkan saya jumpa satu pengajaran yang cukup besar dalam hidup.

Hidup berjasa!

Ya, hidup ini wajib berjasa.

Inilah dinamakan kematian yang menghidupkan. Subhanallah.

Semalam, saya menangis sepuas-puasnya. Dari jam 2 pagi saya terima berita kematiannya, saya menangis hingga bengkak mata malam tadi.

Masakan tidak, setiap kali berjumpa dengan teman yang hadir ke pengebumiannya, semuanya cerita kebaikannya.

Buka sahaja Facebook, semua tag nama arwah dan ratusan kebaikan yang arwah buat. Dalam whatsapp group pula, semua group yang ada arwah semuanya merindui beliau. Semua ceritakan jasa beliau. Semuanya perkara baik sahaja.

Cerita-cerita kebaikannya ini buatkan saya betul betul belajar satu perkara yang cukup besar. Hidup ini mesti berjasa!

Almarhum sejak muda sentiasa berjasa kepada orang sekeliling. Always fikirkan orang lain. Selalu utamakan orang lain. Dan dia tak pernah sikap memilih milih dalam bantu orang lain.

Masa awal perkenalan, saya masih ingat jasanya menolak saya untuk lebih berani ke depan. Arwah cungkil potensi saya. Saat arwah tahu saya minat dalam bidang motivasi, terus arwah minta saya buat ceramah di sekolahnya yang terdiri dari pelbagai bangsa, dan dalam semi bahasa Inggeris pulak tu. Dan berkat jasanya, Alhamdulillah saya sudah ada keberanian bercakap di hadapan ribuan orang dalam dan luar negara.

Bukan itu sahaja jasa beliau, beliau juga telah banyak mengubah cara berfikir. Setiap kali bersembang dengannya, sudah pasti ada sahaja idea baru untuk beri impak kepada ummah. Hidupnya memang di wakafkan untuk ummah. Semangatnya untuk always memberi manfaat kepada orang lain benar benar inspire saya. Hingga hari ni tertubuhnya Avengers tu pun, berkat inspire dari semangatnya. Allahu.

Dan bila saat kematiannya, ternyata jasanya menjadi asbab Allah memuliakannya. Seluruh dunia datang memberi ucapan. Kawan-kawan dari luar negara banyak yang PM saya untuk utuskan penghormatan terakhir. Yang dalam negara, usah kira, tak terkira. Ribuan orang tulis kebaikannya. Yang datang berikan penghormatan terakhir cukup ramai, penuh masjid seolah-olah solat Jumaat. Subhanallah.

See, bila hidup kita memberi makna kepada orang, maka hidup kita pastinya bermakna.

Babak yang saya tak dapat tahan air mata dari tumpah selaju lajunya, ialah semasa dibukakan penutup muka arwah. Kenapa saya menangis sangat-sangat? Sebab saya lihat arwah sedang tersenyum puas. Wallahi. Muka arwah cukup tenang dan tersenyum, seolah sedang menerima satu kejayaan yang cukup besar. Saya menangis kerana cukup terharu. Mulianya kematiannya. Allahuakbar.

Dan memang benar pun, kejayaan paling besar dari hidup kita ialah bila mati dalam keadaan mendapat keredhaan Allah. Sakit itu penghapus dosa. Dua tahun arwah menanggung kesakitan ini, pastinya insya Allah menghapuskan semua dosa almarhum. Allah pilih almarhum temuiNya dengan jiwa yang tenang.

Bagi saya, sakit kanser usus ini adalah kematian akibat sakit perut yang digambarkan dalam hadis sahih sebagai kematian syahid. Allah pilih almarhum dapat anugerah hidup mulia dan mati syahid.

Sebab itu, saya ulangi sekali lagi, kematian ini menjadi satu pengajaran yang cukup besar bagi saya. Hidup mesti berjasa.

Ya, saya amat bersedih dengan kehilangannya.. Apatah lagi saya amat rapat dengannya. Allah berikan saya peluang untuk mandikannya, kapankannya, dan kebumikannya. Sudah pasti saya antara manusia yang paling sedih kehilangannya.

Namun kesedihan ini perlu saya hadapi dengan baik. Ramai yang peluk saya semalam dan bisikkan yang hidup ini mesti diteruskan.

Ya, hari ini saya mula mengumpul sedikit sisa baki semangat yang ada, untuk mula bangkit perlahan lahan. Pengajaran terbesar yang saya dapat ini tidak boleh dipersia siakan. Hidup mesti berjasa. Bahkan kata nabi, khairun nas, anfauhum linnas. Sebaik baik manusia ialah mereka yang beri manfaat kepada orang lain.

Ramai yang jumpa saya sejak pagi lagi minta saya teruskan legasi arwah. Awalnya, saya rasa cukup tidak bermaya untuk teruskan gerak kerja Serantau Muslim ini tanpanya di sisi.

Namun memikirkan, setiap kerja yang dibuat ini pastinya ada saham akhirat buatnya, insya Allah, dengan penuh rasa syahdu, saya berazam untuk teruskan langkah yang telah dibuka arwah demi menyambung legasi arwah.

Dan atas sebab itu juga, saya menjadi lebih tekad untuk buat live dan posting dengan lebih banyak lagi. Saya nak gandakan pahala buat arwah. Saya niatkan pahala dari ilmu yang bermanfaat ini ditujukan khusus buat arwah. Sesungguhnya, beliaulah mentor yang banyak memberi tunjuk ajar kepada saya hingga saya menjadi seperti apa saya hari ini. Beliaulah arwah Dr Raja Iskandar Al Hiss

Buat teman semua, mohon hadiahkan Alfatihah buat arwah Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob. Semoga Allah ampuni dosa-dosa beliau, menjadikan kuburnya sebagai taman syurga dan Allah tempatkannya bersama orang yang soleh.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén