Portal berita terbaik anda

Utama

‘Arwah bersemangat iringi calon’

AHLI Jawatankuasa UMNO bahagian Kuala Terengganu yang meninggal dunia ketika menyertai perarakan pada penamaan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pagi tadi sempat belanja makan dan minum penyokong Barisan Nasional (BN) malam tadi.

Mamat Awang, 59, dari Kampung Panji, Kuala Terengganu, tiba di Semenyih untuk menyertai perarakan mengiringi calon BN, Zakaria Hanafi bersama penyokong BN dari UMNO bahagian Kuala Terengganu pagi semalam.

Ketua UMNO bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Hisham Wan Salleh berkata, selepas menunaikan solat Isyak malam tadi, arwah sempat menjamu makan dan minum jawatankuasa Wanita, Puteri dan Pemuda di sebuah restoran.

Katanya, arwah juga sempat minum pagi bersama jawatankuasa UMNO bahagian Kuala Terengganu dan bersemangat untuk ke kawasan penamaan calon di Dewan Sri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang.

“Mangsa tidak menunjukkan sebarang perubahan dan bersemangat ketika mengiringi perarakan calon, ke pusat penamaan calon pagi tadi.

“Mangsa dikatakan rebah ketika sedang menunggu proses penamaan calon selesai, kira-kira jam 9.20 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Turut hadir ke bilik mayat untuk mengucapkan takziah kepada anak sulong arwah, Mohd Zulhimi di Hospital Kajang adalah calon BN, Zakaria.

Wan Hisham berkata, penyokong BN dan PAS yang berada di tempat kejadian berusaha memberi rawatan kecemasan sebelum dikejarkan ke Hospital Kajang untuk rawatan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya.

Wan Hisham berkata, jenazah mangsa akan dibawa balik ke kediamannya di Kampung Gong Gemia, untuk urusan pengebumian selepas proses bedah siasat.

Loading...

Leave a Reply