Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Utama

Arunakiri Nathan didakwa muat naik video kenyataan jelik

IPOH – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan memuat naik video berupa kenyataan bersifat jelik melalui Facebook, Februari lalu.

T. Arunakirinathan, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang tidak bekerja itu didakwa memuat naik satu video kenyataan-kenyataan yang bersifat jelik dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan melalui laman sosial Facebook ‘Arunakiri Nathan II’ pada pukul 11.52 malam 15 Februari lalu yang dilihat di Panorama Lapangan Perdana, Kampung Rapat di sini 19 Februari lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa memuat naik satu video kenyataan-kenyataan yang bersifat jelik yang boleh mendatangkan kemarahan kepada kaum lain serta memecahkan keamanan awam, menggugat ketenteraman dan keselamatan awam.

Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya yang juga Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azhar Mokhtar dan dibantu Mohd. Waffy Ismail serta Jean Siow Chung Hwei manakala tertuduh diwakili peguam bela, Zawharul Haq Abd. Rahman.

Pihak pendakwaan memohon mahkamah untuk tidak membenarkan tertuduh diberi jaminan memandangkan perbuatan tersebut bukan pertama kali dilakukan sebelum ini.

Zawharul Haq membantah permohonan tersebut dan memohon mahkamah memberikan jaminan kepada anak guamnya atas alasan tertuduh memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis.

Azman kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri pada setiap 1 haribulan setiap bulan di balai polis berdekatan kediamannya.

Mahkamah menetapkan 17 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE

Loading...

Leave a Reply

Theme by Anders Norén