Artis alih suara, Muhammad Aizat meninggal dunia

PUCHONG – Artis alih suara, Muhammad Aizat Adnan, 36, yang pernah menjadi suara latar bagi animasi popular Kung Fu Panda menghembuskan nafas terakhir di kediaman keluarganya di Puchong jam 11.45 malam tadi.

Berita kematian beliau dikongsi kakak sulungnya menerusi status FB, Dayana Adnan.

Beliau sebelum ini menderita ketumbuhan di peha kanan dipercayai kanser sarcoma turut merebak ke hati dan peparu.

Sebelum ini beliau pernah didiagnosis mengalami kanser Esofagus pada Januari 2019 dan disahkan survival apabila bebas daripada sel kanser berkenaan.

Beliau mula dikesan mengalami ketumbuhan pada bahagian peha menerusi saringan Pet Scan pada Februari tahun lalu.

Menurut isterinya, Nor Aziantie Azhar, kesihatan suaminya itu merosot sejak ketumbuhan di peha menyukarkan pergerakan sehingga memerlukan bantuan kerusi roda untuk bergerak.

“Sejak 2019 lagi , arwah suami saya tidak dapat bekerja dan hilang pendapatan kerana kanser Esofagus dihidapinya pada 2019.

“Beliau waktu itu cukup kuat semangat dan beri sepenuh komitmen pada sesi rawatan dan pulih sepenuhnya. Namun pada Februari, ketumbuhan dikesam pada bahagian peha.

“Ketumbuhan itu semakin hari semakin membesar dan menjejaskan pergerakan beliau sehingga memerlukan bantuan kerusi roda.

” Saya ketika itu melakukan kerja sampingan sebagai pemandu Grab terpaksa berhenti kerana mahu fokus menjaga dia selain khuatir risiko jangkitan lain kerana ketahanan imun beliau yang lemah,”katanya.

Tambah Nor Azientie, sel kanser mula merebak dan sehinggalah doktor memaklumkan keadaan kesihatan beliau merosot menyebabkan tidak dapat menjalani kimoterapi.

“Sepatutnya beliau perlu menjalani kimoterapi kali kedua tetapi keadaan kesihatan beliau tidak mengizinkan.

“Keadaanya semakin teruk sejak petang tadi apabila doktor mendapati sel kanser peha sudah merebak ke hati selain jangkitan kuman pada peparu dan kandungan garam dalam darah rendah menyebabkan beliau tidak dapat jalani kimoterapi kali kedua,” katanya.

Nor Azieantie bersyukur Allahyarham sempat bertemu anak lelaki tunggal mereka, Muhammad Fatih Andikar,4, pada minggu lalu.

“Saya ingin berterima kasih atas bantuan rakan atau sumbangan semua pihak kepada kami seisi keluarga sebelum ini dan saya mohon doa semua pihak agar urusan keluarga kami dipermudahkan. Selain itu saya turut memohon kemaafan jika terdapat kesalahan di pihaknya buat sesiapa yang mengenali Aizat,”katanya.

Bagi yang mahu meringankan beban keluarga artis itu boleh membuat sumbangan kepada Nor Aziantie Azhar (isteri) di akaun Maybank 512400515982.

Loading...
Published
Categorized as Utama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *