Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Utama

Dulu buat filem hina Rasulullah, kini jadi pendakwah di jalan Allah

Sebagai agama fitrah, Islam hadir dengan jawapan bagi mereka yang mengkaji.

Inilah yang berlaku kepada Arnoud van Doorn, ahli politik dari Belanda yang pernah menghasilkan filem kontroversi bertajuk Fitna – filem pendek berdurasi 17 minit yang mengaitkan ajaran Islam dengan keganasan.

Pernah buruk-burukkan Rasulullah

Ketika menghasilkan filem berkenaan, Arnoud merupakan salah seorang ahli parti nasionalis Belanda, Party for Freedom yang diterajui Geert Wilder.

Filem tersebut merupakan salah satu kempen ‘membongkarkan bahaya’ ajaran Islam kepada masyarakat di sana – secara tidak langsung meraih sokongan rakyat terhadap perjuangan parti.

Kata Arnoud, sebelum ini ada pihak yang memberitahunya bahawa Islam bukanlah agama keganasan, namun dinafikannya.

Walaubagaimanapun, jauh di sudut hati Arnoud, beliau berasa ada sesuatu yang tidak kena dan tertanya-tanya adakah Islam benar-benar agama yang zalim seperti digambarkan media dan ahli politik.

“Saya mula membaca bahan yang bukan sahaja saya baca sebelum ini yang menjadi propaganda akhbar, tetapi juga al-Quran dan hadith. Dan saya fikir bahan ini mengandungi banyak hal-hal yang bijaksana dan indah, jadi mustahil ia seteruk yang dikatakan,” katanya.

Semakin belajar, semakin kenal diri

Sejak mengkaji al-Quran dan hadith, rasa ingin tahu Arnoud semakin membuak-buak.

“Akhirnya rakan saya yang menjadi Ahli Dewan Undangan The Hague yang beragama Islam mengajak saya untuk ke sebuah masjid di sana.

“Saya menolak sebab bagi saya ia tempat yang berbahaya dan saya akan diserang. Segala kepercayaan mengarut muncul ketika itu tetapi dia yakinkan saya untuk pergi bersamanya.”

“Saya sangat terkejut kerana saya fikir mereka mungkin membenci saya, tetapi rupanya mereka amat mesra dan saya berasa dialu-alukan.”

Katanya, beliau tidak menyangka pertemuan itu akan berlaku dalam tempoh yang lama iaitu daripada pagi sehingga malam.

“Saya bayangkan kami akan berbual ringkas, pandangan saya benar tentang Islam dan mereka semua adalah penjahat; dan saya tinggalkan tempat itu.”

“Ketika itu sesuatu berlaku. Saya tak tahu bagaimana nak gambarkan tapi ia berlaku di dalam hati saya. Bagi saya ini sebenarnya agama yang bijak, indah dan damai.”

Menurutnya, beliau tidak dapat tidur malam pada hari berkenaan kerana memikirkan segala perkara yang baru diketahui dan dialaminya ketika perjumpaan tersebut.

Berikutan itu, Arnoud terus mengkaji Islam dengan membaca, belajar dan bertemu ilmuwan selama kira-kira tujuh bulan.

“Saya bermula dengan rasa ingin tahu, tapi apabila semakin belajar, saya rasa ia bukan sekadar rasa ingin tahu, tetapi sesuatu yang indah dan sesuai dengan diri saya.”

Tiada kerja, tiada pendapatan

Disebabkan rasa serba salah atas apa yang pernah dilakukannya, Arnoud mengambil keputusan untuk meninggalkan parti.

Tindakan tersebut membuatkan beliau tidak mempunyai pekerjaan dan pendapatan.

“Ia merupakan tindakan yang besar. Saya tak ada kerja, tak ada pendapatan. Saya pulang menaiki motosikal dan berfikir, “Apa yang dah saya lakukan? Saya dah tinggalkan kerja, tak mungkin saya boleh mendapatkan kerja lain kerana orang lain amat kenal dengan diri saya.

“Tetapi saya tak kisah. Saya rasa kuat pada ketika itu. Dan kekuatan dalaman ini terus bercambah dan bercambah beberapa bulan kemudian.”

Belajar mengenai Islam membuatkan Arnoud semakin tenang.

“Semakin saya belajar tentang Islam, semakin saya kenal diri saya.”

Setelah berbulan-bulan mempelajarinya, akhirnya Arnoud mengambil keputusan untuk memeluk Islam.

“Ia merupakan detik penuh emosi bagi saya,” kata Arnoud.

Alhamdulillah, terjawab doa mereka yang mendoakan hidayah buatnya.

“Bercakap tentang Islam, saya bukan ulama, saya perlu lebih banyak belajar, membaca dan mengkaji sekurang-kurangnya mungkin 20 tahun atau lebih lagi.

“Saya bukan ulama yang mempunyai ilmu yang tinggi tentang Islam, tetapi saya tahu ia baik, berhikmah dan amat damai. Ia mempunyai penyelesaian kepada semua orang, semua situasi dan golongan. Tiada yang terkecuali.”

Giat jalankan kempen tangani Islamofobia

Bermula detik itu, Arnoud nekad untuk menjalankan kempen memerangi Islamofobia. Menurutnya, semakin ramai yang memeluk Islam di Netherlands terutamanya anak muda berusia bawah 25 tahun.

“Kebanyakan mereka berusia bawah 25 tahun. Disebabkan inilah saya rasa kita perlu mendekati anak muda kerana merekalah masa hadapan kita.

Ramai orang yang segenerasi dengan saya kemungkinan sudah dicemari maklumat yang salah melalui media dan ahli politik.

“Generasi muda mempunyai rasa ingin tahu. Kita perlu sabar mendengar pandangan mereka melalui debat ataupun dialog.

“Sudah tentu ramai Muslim yang marah dengan apa yang berlaku disebabkan Islamophobia. Namun inilah yang dikehendaki oleh ramai orang dan ahli politik. Mereka ingin umat Islam menjadi marah dan ganas. Inilah yang mereka inginkan.”

Oleh itu beliau menekankan agar umat Islam perlu menunjukkan contoh yang baik buat mereka terutamanya anak muda bagi mengatasi Islamofobia.

Beliau juga telah menubuhkan parti The Islamic Party for Unity bagi mewakili umat Islam di Eropah khususnya Belanda.

Loading...

Leave a Reply

Theme by Anders Norén