Anwar kini ibarat kain putih – Rais

0
138

Pengerusi PPBM Negeri Sembilan, Tan Sri Rais Yatim mengingatkan PAS bahawa tidak timbul soal sama ada calon Pakatan Harapan pada pilihan raya kecil Port Dickson layak atau tidak bertanding di parlimen tersebut.

Bekas menteri besar itu berkata ini jelas dalam Perkara 42 Perlembagaan Malaysia bahawa apa yang diperlukan oleh calon PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu adalah cuma pengampunan penuh.

“PAS pun ada mengkritik, kononya Anwar ini nak dicabar kelayakkan. Tapi saya tak payah sebut siapalah yang menyebut perkara ini.

“Dia macam mahir benar undang-undang, tapi saya yakin dia mungkin mahir dari segi undang-undang, tapi bila bicarakan satu persatu akan kalah.

“Dia lupa, di bawah Perkara 42 Perlembagaan Malaysia, yang diperlukan cuma pengampunan penuh dan apabila dikatakan pengampunan penuh 42 perlembagaan kita, selesai semua,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Pesara di Taman Intan Perdana, Port Dickson, malam tadi.

Mengulas lanjut, Rais menegaskan Anwar kini ibarat kain putih selepas mendapat pengampunan dari Yang di-Pertuan Agong atas kesalahan lampaunya.

“Tak ada lagi salah Anwar, kain dibandingkan kain dengan guni, beliau menjadi kain putih sekarang ini,” tegasnya.

Sementara itu, Rais juga turut menasihati calon bebas Sri Isa Abdul Samad yang juga adalah seorang lagi menteri besar Negeri Sembilan agar kembali kepada realiti kerana masanya sebagai ahli politik sudah tamat.

Katanya, berbeza dengan Anwar, Isa tidak akan mampu membawa perubahan kepada Port Dickson.

“Kamu sudah berkuasa selama 22 tahun, kenapa tidak laksanakan apa yang kamu janjikan, 22 tahun tempoh yang lama sebagai menteri besar, saya hanya menjadi menteri besar selama sepenggal.

“Beliau sepatutnya memenuhi kehendak rakyat selama 22 tahun itu, bagi pendapat saya, Isa telah gagal dengan apa yang kami mahu laksanakan pada masa hadapan,” katanya.

Rais, yang juga bekas penasihat sosiobudaya kerajaan ketika pentadbiran BN menjadi menteri besar Negeri Sembilan pada 1978 hingga 1982.

Katanya, sentimen semata-mata tidak mampu mengembalikan zaman kegemilangan Isa.

“Politik adalah mengenai realiti, sentimen sahaja tidak akan mengembalikan zaman kegemilangan, berapa banyak sokongan daripada veteran kita tak tahu, sentimen tidak boleh bawa kita ke mana-mana,” katanya.

Rais berkata, anggota Parlimen Port Dickson yang baru seharusnya seseorang yang mempunyai kuasa, yang mampu meningkatkan imej bandar tentera darat itu.

“Perlu saya katakan kepada Isa, masanya telah tiba dan beliau harus serahkan kepada orang lain untuk melaksanakan apa yang beliau gagal lunaskan suatu ketika dahulu,” katanya.

“Apa yang perlu kita sedar sekarang adalah sama ada kita boleh bergantung harap kepada Anwar? Jawapannya ya,” kata Rais lagi.

Isa yang bertanding atas tiket bebas dalam PRK Parlimen Port Dickson menjadi menteri besar Negeri Sembilan menggantikan Rais bermula 1982 hingga 2004.

Beliau dilihat menjadi pencabar utama kepada Anwar dalam pertandingan tujuh penjuru merebut kerusi yang dilepaskan penyandang, Danyal Balagopal Abdullah dari PKR.

Isa juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Bagan Pinang dan Linggi, yang merupakan antara lima kerusi DUN di bawah Parlimen Port Dickson.

Beliau dikatakan mempunyai sokongan kuat di dua kawasan tersebut, terutamanya pengundi berusia 45 tahun ke atas.

Keputusan Umno memboikot PRK Port Dickson menyebabkan Isa mengambil keputusan keluar Umno dan bertanding atas tiket bebas.

Lima calon lain termasuk dari PAS, alah Mohd Nazari Mokhtar, yang merupakan veteran tentera udara berpangkat leftenan kolonel dan Saiful Bukhari Azlan, bekas pembantu terkait kes liwat Anwar, yang bertanding tiket bebas.

Calon bebas lain adalah Stevie Chan Keng Leong, Lau Seck Yan, dan Kan Chee Yuen.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here