Portal berita terbaik anda

Politik

Anwar ‘gembira’ Azmin tidak terlibat dalam video semburit

PORT DICKSON – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik yang Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak terbabit dalam video lucah yang disebarkan.

Bagaimanapun, beliau berkata, ketika ini polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu.

“PKR menerima baik kenyataan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador semalam bahawa Azmin tidak terbabit dalam video yang disebar baru-baru ini.

“Sebagai Presiden, saya gembira yang dia (Azmin) tidak terbabit berikutan proses pengecaman wajah negatif dan tidak dapat mengaitkan pelaku dengan individu dimaksudkan (Azmin),” katanya pada sidang media hari kedua Program Temurapat Majlis Pimpinan Pusat PKR Sesi 2018/2021 di sini, hari ini.

Anwar berkata, PKR tidak bertolak ansur dan akan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang terhadap dakwaan ahli atau pimpinan parti terbabit dalam penyebaran video itu.

“PKR mengulangi prinsip bahawa kami menolak politik jijik sekeras-kerasnya,” katanya.

Semalam, analisis pakar ke atas video lucah yang sebelum ini dikaitkan dengan seorang menteri tidak dapat mengaitkan pelaku dengan Mohamed Azmin.

Abdul Hamid berkata, proses pengecaman wajah ke atas video lucah itu yang dibuat CyberSecurity Malaysia adalah negatif, walaupun kebarangkalian ketulenan video lucah terbabit adalah tinggi.

Mengulas gesaan ahli supaya Mohamed Azmin melepaskan jawatan dalam parti, Anwar berkata, PKR tidak akan membuat sebarang keputusan sehingga siasatan polis selesai.

Sementara itu, ditanya mengenai kehadiran Mohamed Azmin yang sepatutnya memberikan ucapan pada Program Temurapat Majlis Pimpinan Pusat PKR Sesi 2018/2021 malam ini, Anwar bagaimanapun dilihat tidak memberikan sebarang reaksi.

Loading...

Leave a Reply