Anak sulung tampil dedah cerita sebenar

0
7360

IMAM Masjid Jamek Simpang Renggam, Kluang dan isterinya meninggal dunia ketika tidur di Kampung Chokro,Simpang Renggam, awal pagi hari ini.

Bera Madiran, 78, yang menghidap diabetis dan isterinya, Siti Munah Damin, 60, menghidap kanser limfoma disahkan meninggal dunia kira-kira jam 5 pagi.

Terdahulu, suami isteri berkenaan dikatakan meninggal dunia dalam tempoh selang dua jam.

Anak sulung mereka Mohamad Farid, 50, berkata ibu bapanya disedari sudah meninggal dunia oleh adik bongsu perempuannya yang tidur bersama di bilik mereka.

“Biasanya ayah akan bangun awal untuk bersiap mengimamkan solat Subuh di masjid, namun pagi tadi ayah tidak bangun seperti biasa menyebabkan adik saya mengejutkannya.

“Namun, ayah tidak bergerak sebelum adik mengerakkan ibu pula tetapi tiada juga maklum balas menyebabkan adik kemudian memanggil kami (anak yang lain).

“Kami kemudian menelefon talian kecemasan sebelum pegawai perubatan yang datang mengesahkan ibu bapa kami sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya.

Menurutnya, walaupun terkejut kerana ibu bapa pergi serentak ketika tidur, namun adik-beradiknya reda dengan pemergian mereka berdua.

Katanya, timbul salah faham dalam laporan awal yang tular menyatakan ibu bapanya meninggal dunia selang dua jam.

“Sebenarnya mereka berdua meninggal bersama ketika sedang tidur. Ayah dan ibu juga tidak menunjukkan perbezaan tingkah laku, malah ayah sempat menghadiri jemputan kenduri potong jambul, malam tadi.

“Ayah juga kelihatan ceria dan seronok melayan cucunya bermain apabila pulang dari kenduri, malam tadi,” katanya.

Katanya, bapanya Imam di Masjid Jamek Simpang Renggam sejak lebih 20 tahun lalu selepas bersara sebagai guru agama di Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Renggam.

“Ayah dan ibu kami adalah pasangan bahagia yang penyabar dalam mendidik sembilan anaknya.

“Ayah juga sering berpesan supaya kami sembilan beradik sentiasa menjaga tingkah laku, malah pernah menyatakan jika umurnya tidak panjang, kami adik-beradik perlu terus saling menyayangi dan menjaga perhubungan,” katanya.

Jenazah suami isteri itu dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Sungai Berumbung, Kluang, kira-kira jam 10.30 pagi hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here