Portal berita terbaik anda

Viral

Anak ‘peminat’ nombor 1 meninggal dunia, bapa hilang semangat nak memasak

Suasana ceria di group Facebook Suami Masak Apa Hari Ini (SMAHI) bertukar pilu apabila seorang ahli kumpulan tersebut berkongsi kisah kehilangan anak tercinta.

Fazli Sahak Ishak, dari Taiping, Perak meluahkan rasa sedihnya selepas anak perempuan kesayangannya, Waheeda, 25, telah pergi buat selama-lamanya pada Subuh kelmarin.

Difahamkan, arwah meninggal dunia kerana masalah komplikasi kesihatan yang sudah menjarah tubuhnya sejak beberapa bulan lepas.

Mari ikuti perkongsiannya di bawah ini.

Assalamualaikum & salam sejahtera semua..

Anak sulung saya telah kembali ke Rahmatullah pada 25 Jan 2021. Saya kehilangan peminat dan pengkritik nombor satu masakan saya.

Hilang sudah semangat saya untuk memasak. Namun saya tabahkan jua.

Harini daddy masak bihun goreng untuk dihantar ke tahfiz untuk tahlil kakak .

Menurut Fazli, kesihatan anak kesayangannya itu mula merosot sejak November tahun lepas apabila arwah disahkan menghidap rheumatoid arthritis, iaitu penyakit autoimmun yang menyebabkan berlakunya radang pada sendi-sendi.

“Dia menghidap sakit arthritis. Ikut cakap doktor, antibodi dia jadi ‘gila’. Mula-mula akan serang sendi-sendi sampai lemah.

“Lepas itu akan serang lain-lain tempat yang tak sakit. Jadi anak saya ni dia serang kat jantung,” katanya.

Difahamkan, Waheeda yang juga merupakan pelajar tahun akhir jurusan Sains Sekitaran di Universiti Kebangsaan Malaysia mula menderita sakit itu ketika hari pertama menjalani sesi latihan industri ketika itu.

Malah jelas Fazli, selera Waheeda juga ‘hilang’ sepanjang tempoh sakit tersebut.

“Waktu dia sakit memang tak lalu makan. Tapi kalau saya yang masak, mesti akan habis satu pinggan.

“Tapi petang terakhir dia, saya buat lasagna tapi dia cuma makan satu sudu kecil saja,” jelasnya.

Ketika waktu-waktu terakhir di wad Hospital Taiping, hanya isterinya sahaja yang dibenarkan masuk untuk menjaga Waheeda dan kebetulan pada ketika itu, Fazli ada urusan di tempat lain.

“Isteri beritahu dia (Waheeda) kata sedap sangat (lasagna). Cuma dia tak boleh nak makan cheese dan daging sebab pejal,” luahnya.

Akhirnya tepat jam 5.16 pagi pada 25 Jan baru-baru ini, Waheeda telah menghembuskan nafasnya buat kali yang terakhir, meninggalkan ayah, ibu dan adik-beradiknya yang lain.

Perginya seorang anak kesayangan, sahabat, peminat dan pengkritik masakan membuatkan Fazli bagai kehilangan separuh ‘nyawanya’.

Atas niat menjana pahala amalan buat arwah, Fazli tekad memasak juadah bihun goreng untuk disedekahkan kepada pelajar-pelajar tahfiz berhampiran rumahnya.

Perkongsian Fazli di group SMAHI mendapat maklum balas daripada brotherhood-brotherhood di sana.

Rata-rata ahli group mendoakan agar arwah sentiasa dalam rahmat Allah SWT.

Loading...

Leave a Reply