Anak, menantu EXCO Terengganu terbabit kemalangan di LPT2

0
94

DUNGUN: Anak dan menantu kepada Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Terengganu, Dr Mamad Puteh terbabit dalam kemalangan di Kilometer 371.1, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, Norhisyam Iskandar Mamad, 35, tidak cedera, manakala isterinya Mazrin Nur Mohd Ali, 33, cedera di kepala dan badan.

Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta jenis Mazda yang dipandu Norhisyam dari arah Bukit Besi ke Ajil dipercayai terbabas ketika hujan lebat.

Berikutan itu, kereta mangsa dikatakan beberapa kali berpusing sebelum merempuh penghadang kiri lebuh raya.

Ketika kejadian, pasangan suami isteri terbabit dikatakan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur untuk pulang ke rumah mereka di Hulu Terengganu.

Pengguna lebuh raya yang menyaksikan kejadian berusaha membantu mengeluarkan kedua-dua mangsa daripada kenderaan yang remuk itu.

Berikutan kejadian itu, Mazrin Nur yang cedera dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dengan menaiki ambulans untuk menerima rawatan lanjut.

Norhisyam yang bertugas sebagai doktor kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, kedua-dua pemandu dan penumpang kereta itu tidak mengalami kecederaan serius biarpun keadaan kereta mangsa rosak teruk.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here