Ambil alih 4 konsesi tol jimatkan berbilion wang rakyat – Guan Eng

CADANGAN pengambilalihan empat konsesi lebuh raya oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan menjimatkan berbilion wang pembayar cukai, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Menurutnya, ini termasuk penjimatan RM5.3 bilion dalam bentuk pembayaran pampasan kepada syarikat-syarikat konsesi akibat pembekuan kadar tol.

Selain itu kata Lim, pengguna lebuh raya juga akan menikmati penjimatan sehingga RM180 Juta setahun dengan peralihan daripada kutipan tol sedia ada kepada caj kesesakan.

“Penjimatan ini bermakna pendapatan boleh guna isi rumah rakyat Malaysia akan bertambah dengan jumlah yang sama.

“Sebarang lebihan kutipan caj kesesakan akan disalurkan kepada pembangunan dan penyenggaraan sistem pengangkutan awam Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, caj kesesakan yang diperkenalkan untuk menggantikan kutipan tol sedia ada merupakan caj boleh ubah yang bergantung kepada masa penggunaan, sekali gus dapat mengurangkan kesesakan.

“Ini akan menggalakkan pengguna lebuh raya untuk merancang perjalanan mereka pada waktu luar puncak dan mengurangkan kesesakan lalu lintas semasa waktu puncak,” jelas beliau.

Katanya kerajaan menjangka usaha pengambilalihan empat lebuh raya bertol ini akan mengambil masa selama 6 bulan untuk memenuhi kesemua keperluan pengawalseliaan, kewangan dan undang-undang.

Sabtu lalu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan kerajaan telah memulakan proses rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih empat konsesi lebuh raya di mana syarikat tersebut mempunyai pegangan majoriti.

Empat lebuh raya terbabit ialah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART (SMART).

Guan Eng berkata tanpa mengambil kira PLUS, keempat-empat lebuh raya ini menguasai 48 peratus daripada jumlah pendapatan lebuh raya bertol di bandar.

“Ini meliputi sebahagian besar daripada lebuh raya dalam bandar dan menunjukkan kesungguhan dan komitmen Kerajaan dalam langkah pertama memenuhi manifesto pilihan raya kami,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *