Portal berita terbaik anda

Utama

Amaran angin kencang, laut bergelora hingga Khamis

KUALA LUMPUR – Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 50-60km sejam dan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5m dijangka berlaku di kawasan perairan Utara Condore, Utara Reef North dan Utara Palawan sehingga Khamis (3 Januari).

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan malam ini memaklumkan angin kencang dengan kelajuan 40-50km sejam dan ombak berketinggian sehingga 3.5m dijangka turut melanda perairan Selatan Condore, Bunguran, Selatan Reef North, Layang-layang, Reef South, Selatan Palawan dan Labuan dalam tempoh yang sama.

“Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan dan ketinggian ombak yang sama turut berlaku di kawasan perairan Sabah Barat, juga dalam tempoh yang sama,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di kawasan perairan Sulawesi, Labuan dan Palawan sehingga 1 pagi ini (30 Disember).

Kenyataan itu juga menerangkan bahawa keadaan berkenaan turut melanda kawasan perairan Barat Sabah dalam tempoh sama yang boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50km sejam dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5m.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan serta perkhidmatan feri.

Ia juga berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut. – Bernama

Loading...

Leave a Reply