Portal berita terbaik anda

Utama

Aktivis DAP berang Maszlee haramkan komik terbitannya

AKTIVIS DAP yang juga penulis komik kontroversi berkenaan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), Hew Kuan Yau mengkritik Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik kerana mengharamkan komik itu di sekolah.

Kuan Yaw yang merupakan kurator Muzium Kebudayaan dan komik Asia di Pulau Pinang mendakwa menteri pendidikan itu “menari” mengikut rentak bekas perdana menteri Najib Razak.

Dalam satu hantaran di media sosial, Kuan Yaw yang mesra dengan gelaran ‘Superman’ mengaku merangka dan menerbitkan komik itu dalam tiga bahasa untuk meningkatkan pemahaman rakyat terhadap BRI.

“Untuk menggalakkan pelajar untuk lebih tahu tentang BRI, (kami) menghantar komik itu secara percuma di setiap sekolah. Tidak wujud soal mencuci otak murid dan menyemai komunisme,” katanya.

Kuan Yaw sering dilihat tampil berceramah di pentas-pentas DAP dan pernah mencetuskan kontoversi dengan kenyataan ‘Melayu skrew Melayu’ selain menunjukkan isyarat lucah pada papan tanda tertera wajah Najib.

Aktivis itu juga pernah menimbulkan polemik dengan menggambarkan Tun Dr Mahathir sebagai ‘kuda’ untuk membawa Pakatan Harapan (PH) menakhluki Putrajaya dalam kempen PRU lalu.

Sebaik PH menang dalam PRU lalu, Kuan Yaw dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Perniagaan China-Malaysia (JBC).

Mengulas lanjut dengan pengharaman komik berkenaan, Kuan Yaw membidas Maszlee kerana segera mengarahkan sekolah agar tidak menerima komik itu sebaik Najib membangkitkannya dan mendakwa DAP mengancam orang Melayu.

Kuan Yaw bertanya sama ada Maszlee mengamalkan double standard dengan membangkitkan universiti awam yang dibenarkan menganjurkan Kongres Maruah Melayu baru-baru ini.

“Dia (Maszlee) membenarkan universiti menjadi tempat mencuci otak tetapi mengharamkan komik di pustaka sekolah. Inilah menteri pendidikan yang saya kenal,” katanya yang juga ketua pegawai eksekutif Majlis Perniagaan China-Malaysia (JBC).

Pada Rabu lalu, Najib bertanya kepada Maszlee sama ada kementeriannya membenarkan komik itu diedarkan di sekolah.

Dia juga mendakwa Muzium Kebudayaan dan komik Asia didanai kerajaan Pulau Pinang dan menyebarkan propaganda di sekolah.

Selain itu, Najib berkata komik itu merendah-rendahkan dirinya dan keluarga, serta kerajaan BN.

Versi Bahasa Melayu komik itu diedarkan secara percuma di sekolah menengah vernakular dan kebangsaan.

Maszlee berkata kementeriannya tidak pernah mengeluarkan kebenaran mahupun kelulusan untuk pengedarannya.

“Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah telah diarahkan untuk memastikan semua sekolah tidak menerima dan membuat edaran buku komik ini daripada mana-mana pihak atau pembekal.

“Sekolah merupakan institusi pendidikan yang neutral dan tidak seharusnya menjadi medan penyebaran propaganda politik,” katanya.

Loading...

Leave a Reply