Portal berita terbaik anda

Utama

Aktivis alam sekitar bimbang Tuan Ibrahim dilantik Menteri Alam Sekitar

PETALING JAYA: Aktivis alam hari ini meluahkan kebimbangan berhubung prestasi Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man selepas pemimpin PAS itu dilantik sebagai Menteri Alam Sekitar yang baharu.

Presiden Pertubuhan Perlindung Khazanah Alam (Peka) Shariffa Sabrina Syed Akil berkata pihaknya berasa was-was dengan kerja dan perancangan pemimpin parti Islam itu dalam menerajui kementerian berkenaan.

“Tengok di Kelantan, teruk hutan sudah hancur dan komuniti Orang Asli merana,” katanya ketika dihubungi FMT.

Petang tadi, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumunkan pembentukan 26 kementerian, termasuk empat menteri kanan dalam barisan Kabinet baharu beliau.

Empat menteri kanan yang dilantik ialah bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali; naib presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob; naib yang dipertua kanan PBB, Fadillah Yusof; dan ketua penerangan PPBM, Mohd Radzi Md Jidin

Barisan menteri kali ini menyaksikan seramai 9 daripada Umno, MCA dan MIC 1, PPBM 7, PAS 3, Gabungan Parti Sarawak 4, Parti Bersatu Sabah 1, dan 3 bekas pemimpin PKR yang menyertai PPBM baru-baru ini.

Shariffa Sabrina bagaimanapun berkata, beliau tetap mengharapkan yang terbaik daripada Tuan Ibrahim, terutama sekali melibatkan pindaan undang-undang berkaitan alam sekitar dan pembalakan.

“Harapnya, beliau boleh membuka pintu perbincangan untuk NGO seperti kami dan bekerjasama untuk masa depan alam sekitar yang lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, Shakila Zen dari Persatuan Aktivis Sahabat Alam Sekitar berkata, beliau masih terkejut dan tidak percaya dengan lantikan tersebut, selain menyifatkannya sebagai “hari malang” buat Malaysia.

“Beliau tidak boleh menjaga negerinya sendiri,” katanya.

Loading...

1 Comment

  1. Dr.Haji Rajiee Hadi.

    Lihat dahulu kerjanya, baharulah dinilai prestasinya.

Leave a Reply