Akaun UMNO Pusat, Selangor dibekukan

CALON Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun UMNO Pusat dan UMNO Selangor, hari ini.

Menurutnya, selepas ini tidak mustahil SPRM juga akan membekukan akaun UMNO Johor.

Bekas Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu hari ini dan akaun UMNO Johor hampir pasti akan dibekukan tidak lama lagi.

Katanya, sebelum ini UMNO Pusat tidak mengeluarkan sebarang bajet namun semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengeluarkan surat untuk memberikan bajet kepada UMNO Sabah.

“Semalam keluar surat, hari ini kena beku,” katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri UMNO Johor di Johor Bahru, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan beberapa calon naib presiden serta Majlis Teringgi (MT) UMNO dari Johor dan negeri lain.

Ahmad Zahid berkata, Menteri Dalam Negeri hampir pasti akan meminta Pertubuhan Pendaftaran (ROS) membatalkan pendaftaran UMNO dalam tempoh terdekat.

“Tidak ada jaminan mana-mana Presiden UMNO, Timbalannya, Naib-naib Presiden dan ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT) sekiranya menang pada pemilihan kali ini, tidak akan disiasat (SPRM) kerana kita bukan lagi kerajaan. Ini termasuk bekas Menteri Besar (tiada jaminan tidak akan disiasat),” katanya.

Ahmad Zahid berkata, sekarang bukan masanya untuk mencari kesalahan mana-mana pihak, sebaliknya cuba mencari Presiden yang boleh merelevankan UMNO dengan orang ramai.

Katanya, Presiden UMNO mesti mampu menimbulkan semula kapal yang tenggelam dan bekerjasama dengan semua timbalan, naib, MT serta ahli di peringkat akar umbi.

“Kita sekarang ini memilih Presiden menghidupkan semula UMNO, membaiki rumah yang terbakar. Dari 88 kerusi (Parlimen), tinggal 54 dan semalam, tinggal 52.

“UMNO 1.0 ditubuhkan pada 1946 untuk menentang penjajah disebabkan Malayan Union, pada 1988 UMNO diharamkan dan muncul UMNO 2.0.

“Kini, UMNO digugat daripada 13 (Barisan Nasional) kepada tiga, sama seperti Parti Perikatan. Berikutan itu UMNO perlu dirombak dan saya akan rombak UMNO 3.0 ini dari luar dan dalam,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *