Portal berita terbaik anda

Utama

Air terjun Tanjung Batu musnah gara-gara perlombongan kuari batu

MUNGKINKAH air terjun terbesar yang terakhir di daerah Manjung, Perak hanya akan tinggal kenangan dan bakal hilang selamanya?

Itu persoalan dibangkitkan Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) yang melaporkan kawasan Air Terjun Tanjung Batu, Teluk Sera yang terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Segari Melintang, Manjung, Perak telah pun musnah akibat projek pembalakan.

Ia didakwa ditebang habis bagi tujuan perlombongan kuari batu di kawasan berhampiran lokasi tersebut.

KUASA menerusi hantaran di Facebooknya semalam menyatakan pada 2016 hingga 2017, lesen / permit penggunaan telah diluluskan bagi membuka kawasan kuari batu di situ dan tentunya sebelum pembukaan kuari, aktiviti penebangan secara habis perlu dijalankan.

Menurut persatuan itu, pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan kerjasama penduduk kampung Sungai Batu, Pantai Remis telah membantah cadangan projek tersebut sejak 2016.

“Namun malangnya – apalah kuasa yang kami ada jika dibandingkan dengan keinginan besar kerajaan negeri, syarikat pemaju dan ‘kerabat tertentu’ ketika itu,” dakwanya.

KUASA memberikan beberapa sebab mengapa projek itu dibantah:

1. Kelulusan kegiatan kuari dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) bercanggah dan tidak mematuhi ketetapan Mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-70 (MTN) pada 2014 iaitu semua negeri digesa mengambil inisiatif mengawal atau sebolehnya mengelak sebarang kelulusan kegiatan perlombongan dan kuari dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal.

2. Air terjun Tanjung Batu merupakan air terjun yang indah – menjadi kawasan rekreasi kepada penduduk tempatan.

3. Hutan Simpan Segari Melintang antara kawasan hutan bukit pantai yang terakhir di daratan pantai barat Semenanjung, lalu nilainya cukup istimewa. Tiada hutan seperti ini di tempat lain di bahagian pantai barat.

4. Hutan Simpan Segari Melintang juga mempunyai spesies pokok endemik (pokok yang tiada di mana-mana negara di dunia melainkan di Manjung) iaitu Pokok Balau Putih – Shorea lumutensis.

5. Hutan Simpan Segari Melintang juga memang berkualiti tinggi biodiversitinya dan mempunyai sejarah tersendiri semasa zaman Kerajaan Gangga Negara – Dinding – bahkan lebih istimewa daripada Taman Negara Pulau Pinang, lalu sepatutnya diwartakan sebagai kawasan perlindungan, atau lebih praktikalnya sebagai Taman Negeri bagi memelihara dan memulihara ekosistem dan geomorfologinya yang unik.

“Kini segala keindahannya hanya tinggal kenangan – namun selepas ini akan adakah keinsafan dan komitmen kerajaan negeri untuk memulihara dan memelihara khazanah alam Perak yang dikatakan negeri paling kaya biodiversitinya di Semenanjung,” soalnya.

KUASA berkata, Malaysia bukannya tiada undang-undang dan dasar lengkap tentang alam sekitar, namun kadangkala ia tidak diikut dan dipatuhi di peringkat negeri dan daerah.

Kata kenyataan itu, Malaysia telah merangka Dasar-Dasar Fizikal Negara (RFN, RSN, RTD), Polisi Alam Sekitar bermacam cara, bahkan Majlis Tanah Negara (yang dianggotai oleh Menteri Besar sendiri) dan Rancangan-Rancangan Pembangunan semuanya telah jelas untuk memelihara kawasan sensitif.

“Namun di peringkat negeri seakan-akan tiada kepatuhan terhadap dasar Persekutuan oleh kerana kuasa negeri yang begitu mutlak terhadap tanah, air dan sumber asli.

“Kami menyeru kepada ahli politik dan pihak berkuasa – terimalah dan bawalah suara kami pencinta alam dan rakyat marhaen.

“Hentikan projek pembangunan tidak mampan daripada melenyapkan khazanah negara kita. Pembangunan tidak salah, namun ada peraturannya,” katanya. – Malaysiapost

Loading...

Leave a Reply