Usia baru 19 tahun, remaja yatim piatu ini tauke belacan terbesar di Terengganu

USIANYA baru 19 tahun namun siapa sangka, remaja dari Kampung Hujung Tanjung, Seberang Takir ini antara pengusaha belacan terbesar di negeri ini dengan pendapatan bulanan lumayan.

Muhammad Aimy Shahril Mat Ali, 19, mewarisi perniagaan belacan daripada arwah bapanya, Mat Ali Sulong, 63, dan ibunya, Maimun Mat Said, 50, ketika dia berusia 16 tahun pada 2017.

Biarpun dikategorikan sebagai peniaga berjaya namun sifatnya yang rendah hati dan sentiasa berpegang kepada pesanan arwah ibu bapa membuatkannya tidak hanyut dengan kemewahan dan menjalani kehidupan secara sederhana.

Berbeza dengan sebahagian ahli perniagaan berjaya lain yang berlumba-lumba menunjukkan kemewahan dengan kenderaan mewah, Aimy Shahril hanya memandu Proton Wira terpakai.

Aimy Shahril berkata, dia sentiasa ingat pesanan terakhir arwah bapanya supaya tidak hidup secara mewah sebaliknya menyimpan wang untuk kegunaan masa depan.

“Saya bersekolah sampai tahun lima sahaja dan belajar agama di sekolah pondok selepas itu.

“Ketika musim cuti, saya akan membantu arwah bapa membuat belacan dan pada usia 14 tahun, bapa mula mengajar saya selok belok berniaga belacan.

“Ibu meninggal dunia pada 2010 akibat barah sebelum bapa pula meninggal pada 2017 akibat penyakit paru-paru berair,” katanya ditemui di kilang menghasilkan belacan miliknya di sini, hari ini.

Tambahnya, memandangkan dia anak tunggal, maka dia layak mewarisi perusahaan berkenaan.

“Pada peringkat awal, untuk menguruskan perniagaan ini memang mencabar kerana pada usia muda, saya perlu menguruskan semua termasuk berkerja dengan orang yang jauh lebih berusia.

“Saya ada 12 pekerja berusia 18 hingga 50 tahun namun saya bersyukur kerana semuanya memberi kerjasama yang baik.

“Saya tidak pernah menganggap diri sebagai ‘bos’ atau ketua kepada mereka tetapi mereka dilayan seperti keluarga sendiri,” katanya.

Menurut Aimy Shahril, dia bersyukur kerana berjaya mengekalkan perniagaan belacan itu sehingga jumlah pengeluaran belacan lebih tinggi berbanding lima tahun lalu.

“Sebelum ini, hanya 500 hingga 700 keping belacan dijual sehari namun kini, ia meningkat lebih 1,000 keping sehari.

“Pasaran juga lebih luas termasuk ke Kuala Lumpur, Langkawi dan Pahang,” katanya.

Bercerita cabaran berniaga, Aimy Shahril berkata, dia pernah kerugian lebih RM8,000 selepas bahan mentah yang diterima rosak dan tidak berkualiti menyebabkan belacan dihasilkan tidak menepati piawaian.

“Justeru, bagi memastikan jumlah kerugian terkawal, saya juga menjalankan perniagaan ikan kering dan bilis.

“Alhamdulillah hasil jualan ikan kering dan bilis juga menggalakkan. Saya mampu menjual 50 hingga 200 kilogram sehari,” katanya.

Menurut Aimy Shahril, dia akan berusaha untuk mengembangkan lagi perniagaan berkenaan.

“Selain mengekalkan perniagaan warisan keluarga, niat utama saya juga ialah untuk memberi peluang pekerjaan kepada penduduk kampung yang memerlukan,” katanya.

Loading...

Leave a Reply