Ahmad Said yakin UMNO kembali bangkit di Terengganu

MARANG – UMNO negeri menaruh keyakinan tinggi bahawa parti itu mampu merampas semula Terengganu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang akan datang.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Said berkata, keyakinan itu berdasarkan pengalaman lalu di mana senario politik di negeri ini yang memperlihatkan sebahagian besar rakyat akan kembali memilih UMNO apabila berada dalam keadaan tertekan.

“Pada tahun 1999 kita kalah kerana isu Anwar Ibrahim, kemudian pada tahun 2004 kita bangkit semula dan tumbang pada tahun 2018 kerana janji-janji palsu Pakatan Harapan (PH) yang nenyebabkan Barisan Nasional (BN) turut hilang kuasa tampuk pemerintahan negara sehingga rakyat berada dalam keadaan sengsara.

“Ekoran itu, saya percaya UMNO akan kembali bangkit sekiranya setiap ahli di peringkat akar umbi terus bersatu,” katanya ketika ditemui selepas program UMNO Bangkit di Akar Umbi di Markas Besar Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di sini petang ini.

Yang turut hadir Ketua UMNO Bahagian Marang, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku serta seluruh kepemimpinan semua peringkat bahagian berkenaan.

Menurut Ahmad, dalam PRU-15 nanti, pengundi di negeri ini hanya nempunyai dua pilihan sama ada memilih UMNO atau Pas dengan mengharapkan jangan sesekali memilih PH kerana menyifatkan ia tidak membawa keuntungan kepada orang Islam.

“Bagi negeri pantai barat pula BN dan Pas boleh mengguna pakai formula Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands dan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih sekiranya mahu menumbangkan PH daripada terus menerajui tampuk pemerintahan negara,” ujarnya.

Sementara itu, Ahmad turut menarik perhatian bahawa UMNO kini sedang membuat pemutihan ahli di samping akan terus bergerak di peringkat akar umbi bagi memperkemaskan parti berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Loading...

Leave a Reply