‘Ahli politik tak perlu ijazah’ – Ong Kian Ming ‘backup’ Marzuki

KUALA LUMPUR – Seorang ahli politik tidak memerlukan ijazah untuk melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik, namun beliau tidak seharusnya mengelirukan rakyat dengan mendakwa sebaliknya.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr. Ong Kian Ming berkata, orang ramai mempertikai kelayakan akademik seorang timbalan menteri ketika ini bukanlah kerana beliau tidak mempunyai ijazah, sebaliknya orang ramai dikelirukan dengan kelayakannya.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP turut menggunakan contoh beberapa orang ahli perniagaan terkenal untuk menggambarkan situasi tersebut.

“Bill Gates tidak menamatkan pelajaran di kolej tapi tiada siapa kata dia tidak layak mengetuai Microsoft. Mark Zuckerberg tidak menamatkan pelajaran di Harvard dan akhirnya mengasaskan Facebook. Steve Jobs meninggalkan kolej kerana masalah kewangan.

“Tiada siapa melihat mereka sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang kurang berkesan kerana tidak ada ijazah, tetapi mereka juga tidak mendakwa diri mereka sebagai pemegang ijazah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya dikecam hebat kerana didakwa memalsukan kelayakan akademiknya yang didakwa diterima dari Universiti Cambridge.

Marzuki kemudian menjelaskan bahawa ijazahnya bukan dari Universiti Cambridge di United Kingdom (UK) sebaliknya dari Universiti Antarabangsa Cambridge yang terletak di Amerika Syarikat (AS). Walau bagaimanapun, kredibiliti universiti itu diragui kerana didakwa tidak mempunyai akreditasi dari AS malah disyaki sebuah institusi yang menjalankan kegiatan menjual ijazah.

Kian Ming yang sebelum ini sering mengkritik pemimpin politik yang memalsukan kelayakan akademik menegaskan pendiriannya masih sama, iaitu perbuatan memalsukan ijazah tidak boleh diterima.

Kata beliau, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak patut menyembunyikan isu tersebut. PH perlu meletakkan standard yang lebih tinggi dari segi ketelusan dan kebertanggungjawapan atau jika tidak, PH akan dilihat tidak berbeza dengan Barisan Nasional (BN).

“Tidak kira apa tindakan timbalan menteri itu, beliau seharusnya bertanya Perdana Menteri sama ada Perdana Menteri masih mempunyai keyakinan kepada beliau untuk terus berkhidmat dengan kerajaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here