Ahli perniagaan tawar RM100,000 bawa pulang Jho Low

KEPONG: Seorang ahli perniagaan yang enggan dikenali menawarkan RM 100,000 kepada rakyat Malaysia yang berjaya membawa pulang Low Taek Jho atau Jho Low.

Jho Low, ahli perniagaan yang mempunyai kaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad ( 1MDB ) diperlukan bagi dihadapkan ke muka pengadilan di Malaysia.

Perkara itu didedahkan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, yang dikunjungi ahli perniagaan terbabit.

“Baru-baru ini ada seorang ahli perniagaan telefon dan datang berjumpa saya di pejabat untuk menawarkan ganjaran itu.

“Saya berharap dengan tawaran ini Jho Low boleh dikesan secepat mungkin dan dibawa pulang ke Malaysia,” katanya ketika ditemui media pada majlis Beautiful Gate Disable House Members menyerahkan sumbangan kepada Tabung Harapan Malaysia (THM) di sini, hari ini.

Sumbangan berjumlah RM2,000 itu adalah hasil kutipan daripada 11 ahli Beautiful Gate Disable House Members.

Pengarah Eksekutifnya, Pastor Sia Siew Chin berkata, walaupun tergolong dalam kategori orang kurang upaya (OKU), mereka tetap mahu menyumbang sesuatu untuk negara.

“Sebagai rakyat Malaysia, saya dan rakan rasa bertanggungjawab untuk menyelamatkan negara ini.

“Walaupun ia hanya sumbangan kecil, sekurang-kurangnya ia hasil usaha kami sendiri dan berharap ia dapat membantu,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *