Portal berita terbaik anda

Politik

Ahli Pas Kelantan berduyun-duyun sertai PAN – Mat Sabu

SHAH ALAM – Penubuhan Muafakat Nasional di antara Pas dan UMNO dipercayai tidak disenangi oleh akar umbi Pas khususnya di Kelantan susulan kemasukan beramai-ramai ahli parti itu ke dalam Parti Amanah Negara (PAN).

Presiden PAN, Mohamad Sabu mendedahkan, Kelantan antara negeri yang teramai ahli Pas yang menyertai PAN pada masa ini susulan mereka menolak Muafakat Nasional dan UMNO.

“Banyak sekarang ini, sedang berpindah begitu ramai di Kelantan. Ahli Pas memang dididik begitu lama tentang kebencian kepada UMNO dan sampai ke peringkat kafir mengkafir

“Jadi bukan mudah untuk mereka terima Muafakat Nasional begitu mudah, ramai di antaranya memilih untuk bersama dengan PAN,” katanya selepas Konvensyen Nasional PAN 2019 di sini, hari ini.

Mohamad juga berasa terkejut apabila PAN Kelantan khususnya kawasan Pasir Mas mempunyai lebih 2,000 ahli baharu meskipun belum mempunyai cawangan di kawasan itu.

“Kelantan di antara negeri yang nampak penambahan ahli kami meningkat begitu mendadak

“Kita tahu ramai tapi yang teramai di Pasir Mas, Kelantan, itu satu kejutan, ramai (ahli Pas) berduyun-duyun menyertai PAN,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PAN, Datuk Mahfuz Omar berkata, penolakan ahli Pas Kelantan terhadap Muafakat Nasional kerana mereka tidak mahu UMNO dan BN kembali memerintah negara.

“Ahli Pas kebanyakannya menolak Muafakat Nasional kerana mereka melihat ini merupakan pembentukan BN 2.0, sebab itu mereka menolak, mereka tak nak mengembalikan negara ini di bawah kepimpinan BN,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Loading...

Leave a Reply