Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Politik

Ahli Parlimen PH tiada dalam dewan sebab sejuk duduk lama-lama

TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin menegaskan kerajaan mempunyai jumlah ahli Parlimen yang mencukupi bagi memastikan Rang Undang-undang Perbekalan 2020 dapat diluluskan di Dewan Rakyat.

Hanipa berkata, ahli Parlimen berada di luar Dewan Rakyat pada Selasa malam lepas kerana suhu sejuk di dalam dewan.

“Kita ada cukup ahli Parlimen cuma kadang-kadang mereka bukan mudah untuk berada dalam dewan dalam tempoh yang lama kerana dalam dewan tersebut sangat sejuk.

“Sebab itu kita loceng supaya Speaker boleh memanggil Ahli-ahli Parlimen masuk ke dalam dewan untuk mengundi atau mencukupkan korum bersidang,” katanya kepada media ketida ditemui lobi Parlimen hari ini.

Dalam kejadian malam tadi, pembangkang meminta supaya dibuat undian belah bahagi ketika sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2020 bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) oleh Timbalan Menterinya Hannah Yeoh.

Keadaan sedikit kecoh apabila kedua-dua blok penyokong kerajaan dan pembangkang mempersoalkan jumlah ahli Parlimen yang berada di dalam dewan sehingga memaksa Speaker membunyikan loceng bagi memanggil ahli Parlimen masuk ke dewan.

Ketika loceng dibunyikan, jumlah ahli Parlimen pembangkang yang berada di dalam dewan melebihi jumlah ahli Parlimen kerajaan.

Bagaimanapun, selepas kiraan dibuat, usul itu diterima setelah lebih suara yang menyokong iaitu 32 orang berbanding 28 orang yang menolak.

Mengulas lanjut perkara itu, Hanipa menyifatkan tindakan pembangkang meminta supaya dibuat undi belah bahagi adalah suatu perkara yang normal yang mana turut dilakukan oleh pihaknya sewaktu menjadi pembangkang dahulu.

“Dahulu kita buat dan sekarang giliran mereka tiru kita. Tiada masalah perkara kecil sahaja,” katanya.

Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad telah berulang kali menegur sebilangan ahli Parlimen yang tidak menghadiri persidangan Dewan Rakyat kerana ia memberi gambaran seolah-olah mereka tidak berminat untuk berkhidmat kepada rakyat.

Loading...

Leave a Reply

Theme by Anders Norén