Ahli Parlimen kata kes cabul hanya salah faham sahaja

0
213

ARAU: Seorang Ahli Parlimen mendakwa kejadian ‘cabul’ yang membabitkannya dan remaja perempuan berusia 15 tahun pada 20 Oktober lalu hanya sebagai salah faham saja antara mereka.

Ahli Parlimen berkenaan ketika dihubungi berkata, beliau tiada niat untuk menyentuh mangsa sehingga keluarganya melaporkan perkara terbabit kepada pihak polis.

“Saya sudah kenal mereka lama, sudah hampir dua tahun dan sewaktu kejadian yang kononnya ‘cabul’ itu bukan berlaku di tempat yang sunyi tetapi di khalayak ramai.

“Saya tak mahu panjangkan perkara ini kerana kasihan kepada pelajar itu dan dia ada masa depan yang cerah,” katanya ketika dihubungi.

Beliau juga enggan mengulas panjang perkara berkenaan kerana perkara terbabit masih dalam siasatan polis dan kenyataan lanjutan daripada pihaknya akan diumumkan esok.

“Mereka kata saya sogok, saya pun tak tahu keluarga mangsa tarik balik laporan polis yang dibuat sehingga mereka sendiri yang maklumkan kepada saya,” katanya.

Sebelum ini, media sosial kecoh selepas Pengerusi Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (Mywatch), Datuk R Sri Sanjeevan mendedahkan kejadian cabul oleh Ahli Parlimen berkenaan melalui ‘thread’ (bebenang) di akaun Twitternya sehingga mengundang reaksi pelbagai pihak termasuk Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd.

Malah, setakat petang tadi, PKR Perlis menerusi pengerusinya, Mohd Faisol Abdul Rahman, turut membuat laporan polis mendesak keluarga mangsa tampil untuk membuat laporan polis semula.

Mohd Faisol turut mendakwa keluarga mangsa disogok oleh Ahli Parlimen berkenaan sehingga laporan sebelum ini ditarik balik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here