Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Jenayah

Ahli Parlimen Dungun disamun kerugian lebih RM26,000

DUNGUN – Ahli Parlimen Dungun, Wan Hasan Mohd Ramli kerugian RM26,000 selepas disamun dua lelaki bermotosikal dalam kejadian berhampiran sebuah bank di Jalan Baru Pak Sabah, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa berusia 62 tahun yang cedera di kaki dan tangan kanan turut mendapatkan rawatan di Hospital Dungun.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, sebelum kejadian, Wan Hasan dikatakan pergi ke sebuah bank untuk mengeluarkan wang bagi membayar tempahan lembu untuk Aidil Adha bulan depan.

Katanya, sebaik selesai mengeluarkan wang di bank berkenaan, Wan Hasan masuk ke dalam keretanya untuk pulang ke pejabat.

“Bagaimanapun, seorang lelaki berusia lingkungan 20-an tiba-tiba masuk di bahagian tempat penumpang hadapan sebelum mengambil beg mengandungi wang berkenaan.

“Mangsa cuba menyelamatkan beg itu daripada dilarikan suspek sehingga berlaku pergelutan antara mereka, namun suspek berjaya melarikan diri dengan motosikal yang ditunggang rakan sejenayahnya.

“Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun sebelum ke Hospital Dungun untuk rawatan,” katanya.

Baharudin berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengambil rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera ketika melakukan samun.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén