Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Politik

Adik Shahidan Kassim masuk PPBM

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim yang juga adik Pengerusi Umno Perlis, Shahidan Kassim mengumumkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)

New Straits Times (NST) melaporkan Ismail, 59 mengesahkan penyertaannya ke dalam PPBM malam ini.

“Ia bukan satu keputusan yang saya buat dalam masa satu malam, saya telah memikirkannya masak-masak selama hampir satu setengah tahun, selepas tidak menjadi anggota mana-mana parti politik.

“Saya bercakap dengan ramai ahli politik yang berpengalaman, antaranya Daim Zainuddin dan beberapa orang lain yang meletakkan pertimbangan kebaikan dan keburukan terhadap apa yang berlaku.

“Jadi, saya membuat keputusan dan sejak hari ini saya secara rasminya menjadi anggota PPBM,” katanya, petik NST.

Ismail telah menyertai Umno ketika berusia 28 tahun.

Beliau keluar Umno pada Jun tahun lalu di tengah-perselisihan dengan pimpinan Umno pusat yang enggan menyokongnya selepas Raja Perlis menolak Ismail sebagai calon menteri besar negeri itu.

Sejak itu, beliau menjadi Adun bebas.

Hari ini, Ismail berkata beliau yakin dapat berkhidmat lebih baik sebagai wakil rakyat daripada gabungan persekutuan pemerintah.

Kemasukan Ismail ke dalam PPBM bermakna parti itu akan mempunyai wakil rakyat pertama di negeri itu, yang akan bersama-sama tiga lagi Adun PKR dalam gabungan PH di dewan undangan negeri.

PH menguasai empat kerusi dalam dewan undangan negeri yang memiliki 15 kerusi, manakala PAS menguasai dua kerusi. BN menguasai kerajaan Perlis dengan sembilan kerusi.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén